KUALA TERENGGANU, 2 Jun (Bernama) -- Kejadian bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dekat sini, yang runtuh pagi ini amat memalukan negara, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.
Beliau berkata walaupun kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa, ia menjejaskan imej negara kerana runtuhan itu membabitkan stadium baru yang belum sampai setahun digunakan.
"Walaupun daripada segi membaikpulihnya ditanggung oleh kontraktor dengan memasang bumbung baru, ia memberi gambaran yang tidak baik kepada negara, seolah-olah kontraktor kita tidak berkemampuan untuk melakukan kerja (membina) bangunan sedemikian rupa," katanya selepas meninjau stadium itu bersama Menteri Besar Datuk Ahmad Said, Selasa.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 9.30 pagi itu, hampir 60 peratus struktur bumbung bahagian hadapan kiri dan kanan stadium berkenaan sepanjang 400 meter runtuh menyebabkan besi serta serpihan bumbung jatuh ke bahagian tempat duduk.
Shaziman berharap Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat kajian terperinci bagi mengenalpasti punca runtuhan itu.
"Saya minta satu juru perunding yang mempunyai kepakaran dan berkualiti dilantik bagi menilai dan mengkaji mengapa bumbung stadium baru itu boleh runtuh.
"Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak. Apa yang saya mahu ialah satu laporan terperinci kerana kejadian ini memalukan negara walaupun kesilapannya mungkin bukan berpunca daripada kita," katanya.
Beliau berkata kejadian itu akan menyebabkan masyarakat luar menganggap kontraktor tempatan tidak berkemampuan untuk membina bangunan-bangunan besar.
"Saya juga ingin tekankan kepada CIDB supaya lihat dengan terperinci jika hendak membina satu-satu struktur bangunan di negara ini daripada perancangannya, reka bentuknya, juruperunding, pembinaannya sehinggalah kalau bangunan itu hendak diruntuh pun kita sudah ada piawaian amalan kerja. Kita tidak akan bertolak-ansur dalam perkara ini.
"Pemilihan kontraktor hendaklah berdasarkan kemampuan dan kalau projek besar, pastikan konsultan itu ada kapasiti. Begitu juga dengan kontraktor mesti ada pengalaman dan pengetahuan teknikal yang tinggi," katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri akan melantik konsultan bebas yang benar-benar berkemampuan dan mendapatkan maklumat dari Jabatan Kerja Raya bagi mengenalpasti punca kejadian.
"Siasatan awal mendapati kerugian dianggar RM25 juta," kata menteri besar itu yang jelas sedih dan kecewa dengan insiden yang berlaku itu.
Beliau berkata stadium utama itu akan ditutup sehingga kerja membaikpulih dilakukan sepenuhnya dan ia akan dibuka setelah mendapat jaminan keselamatan daripada kontraktor yang akan dilantik kelak.
Berikutan kejadian itu, beliau berkata stadium tertutup dan beberapa bangunan baru yang terletak berhampiran stadium utama itu akan diperiksa bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati polis, bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) masih mengawal keadaan sekitar stadium berkenaan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Stadium berharga RM292 juta itu baru siap setahun lepas dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas. Ia menjadi mercu tanda Terengganu dan gelanggang bagi beberapa acara utama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008.
-- BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Our Blues drama review -malay version
Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...
-
Hidup ini ada pasang surutnya, kadang-kadang kita tiada kawan pada saat-saat kita sangat memerlukan kawan. Tapi kita ada diri kita sendiri, ...
-
KURSUS PERGURUAN LEPASAN IJAZAH(KPLI) SUDAH BOLEH DISEMAK MELALUI LAMAN WEB tarikh peperiksaan MTEST 28 MARCH 2009 http://apps.emoe.gov.my/k...
-
PENGENALAN ISAC adalah singkatan kepada IT Skill Assessment and Certification. Ia merupakan satu alat bagi menentukan kesediaan personel ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan