BEIJING, 2 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata China pada hari ini amat jauh berbeza daripada apa yang dilihat oleh bapanya pada 1974.
"Berjuta-juta basikal dan sut Mao kini telah diganti dengan kereta yang menyusuri lebuh raya. China semakin mendapat perhatian negara maju Barat dan tidak lagi dipinggirkan seperti sebelumnya," tulis Najib dalam artikel yang diterbitkan dalam China Daily menjelang lawatan rasminya ke China yang bermula hari ini.
Perdana Menteri berkata 35 tahun selepas Zhou Enlai dan bapanya, allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, mewujudkan hubungan diplomatik di Beijing, "persahabatan kami semakin erat."
"Seperti peribahasa Cina iaitu "Apabila seseorang itu menjadi kawan sebenar, malahan air kosong yang dikongsi terasa manis" dan saya menaruh harapan tinggi terhadap masa depan kita bersama. Saya yakin hubungan kukuh yang sudah terjalin antara kita akan terus diperkukuhkan dan pereratkan lagi, menandakan era baru dalam hubungan dua hala dengan objektif sama dalam semangat hubungan lama, setiakawan semasa dan perkongsian di masa depan," katanya.
Najib menyifatkan China dan Malaysia sebagai kisah kejayaan ekonomi sebenar.
"Masa depan kita dipenuhi dengan harapan dan peluang. Tetapi cabaran yang kita hadapi adalah benar, dan banyak yang perlu dilakukan. Pastinya, adalah betul bahawa perjalanan beribu baru bermula dengan satu langkah.
"Dan, dalam melaksanakan pembangunan ekonomi dan sosial nasional, sesetengah negara perlu berusaha lebih gigih berbanding lainnya, dan sesetengahnya akan perlu mencari laluan sendiri.
"Negara-negara yang bercita-cita untuk muncul daripada krisis ekonomi dengan lebih kukuh lagi perlu mengambil tindakan segera dari sekarang. Saya percaya bahawa China dan Malaysia sedang mengambil langkah perlu."
China dan Malaysia, katanya turut berkongsi cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana ekonomi global kemungkinan akan menguncup tahun ini buat pertama kalinya sejak pertengahan abad lepas.
Bank Dunia turut mengunjurkan perdagangan dunia pada tahun ini kemungkinan akan merekodkan penurunan terbesar dalam 80 tahun.
Berikutan senario itu, Najib berkata Malaysia dan China perlu menghadapi cabaran itu dengan tabah.
"Kuasa perdagangan dan nilai pasaran tidak dapat dinafikan, tetapi krisis ekonomi global menunjukkan bahawa kerajaan juga perlu memainkan peranan kritikal.
"Saya memuji langkah segera China yang melaksanakan pakej rangsangan ekonomi US$586 bilion, yang sudah menunjukkan hasil dengan memaparkan perubahan positif dalam ekonomi.
"Dalam beberapa bulan lepas, kerajaan saya, juga, telah mengumumkan dua pakei rangsangan khas dan bersejarah. Rangsangan kedua sahaja, sebanyak RM60 bilion, adalah yang terbesar dalam sejarah Malaysia dan merupakan 9 peratus daripada keluaran dalam negara kasar kami. Menurut Bank Negara Malaysia, kedua-dua pakej itu akan merangsang pertumbuhan ekonomi sebanyak 1 hingga 1.5 peratus.
"Sekiranya kami menggalakkan pembangunan ekonomi stabil, pakej ini hanya merupakan satu langkah. Bagi jangka panjang, kami perlu mewujudkan ekonomi-ekonomi pengetahuan. Dengan berbuat demikian, terutamanya dalam keadaan tidak menentu sekarang, merupakan kunci untuk mencapai daya saing global; untuk mencungkil bakat terpendam rakyat kami; dan untuk memastikan faedah pertumbuhan ekonomi dikongsi bersama."
Mengenai hubungan dua hala antara China dan Malaysia, katanya mereka mempunyai banyak persamaan daripada segi mereka berkongsi aspirasi dan objektif yang sama untuk memastikan keamanan dan kestabilan berkekalan di rantau ini.
China, katanya turut menunjukkan bahawa ia adalah kuasa ekonomi yang bertanggungjawab apabila ia mendapat penghargaan dan kepercayaan negara-negara Asia semasa krisis kewangan 1997-1998 dengan tidak menurunkan nilai mata wangnya.
"Jika ia berbuat demikian, ia pasti memburukkan lagi keadaan di negara-negara yang terjejas termasuk Malaysia," tegas beliau.
Najib berkata sekarang ini Malaysia dan China boleh bekerjasama dalam menangani kemelesetan ekonomi global dan terdapat beberapa cara perkara itu dapat dilakukan.
Ini termasuk memastikan permintaan domestik di Malaysia dan China kekal tinggi kerana peningkatan dalam permintaan domestik China akan membantu sektor eksport negara-negara di rantau ini dan pemulihan mereka.
"Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencecah $39.06 bilion pada 2008, meningkat sebanyak 10.3 peratus berbanding dengan 2007. Perdagangan dua hala adalah kurang daripada $100 juta pada 1974 apabila Tun Razak melakukan lawatan bersejarah itu.
China kini rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dan pasaran eksport keempat terbesar. Kebanyakan import Malaysia adalah dari China. China juga merupakan destinasi penting bagi pelaburan Malaysia. Tahun lepas, Malaysia merupakan pelabur asing ke-19 terbesar di China.
"Terdapat banyak peluang bagi pelabur China di Malaysia. Kami mengalu-alukan mereka dan menggalakkan penyertaan mereka dalam kejayaan kami," kata Najib.
Mengenai pembaharuan sektor perkhidmatan dan sektor kewangan yang diumumkan oleh beliau baru-baru ini dalam dua pakej rangsangan ekonomi, katanya langkah itu akan menjadikan pelaburan asing lebih mudah dan lebih menarik, dan Malaysia Malaysia mahu melihat peningkatan jumlah dan profil pelaburan China.
"Hubungan dua hala antara Malaysia dan China turut dicirikan oleh hubungan peribadi yang baik antara pemimpin dan masyarakat perniagaan serta juga lawatan secara tetap di semua peringkat," katanya.
Beliau berkata hubungan antara rakyat dengan rakyat juga bertambah baik dengan Malaysia kini menjadi destinasi utama pelancong China.
Tahun lepas, lebih 949,800 pelancong China datang ke Malaysia - angka kelima terbesar selepas Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei - jumlah terbesar dari luar ASEAN.
"Dengan kemudahan penerbangan terus dan pertambahan kekerapan penerbangan, jumlah pelancong China ke Malaysia pada tahun ini dijangka melebihi satu juta," katanya dan menurutnya China juga merupakan destinasi penting kepada pelancong Malaysia.
Najib juga berkata kemakmuran masa depan mana-mana negara bergantung kepada prestasi rakyatnya.
"Pendidikan merupakan wadah paling penting kami dalam memecahkan kitaran kemiskinan - dan ia laluan pasti kami kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Sebab itu kenapa kerajaan saya mewujudkan model baru ekonomi yang mementingkan pengetahuan.
"Mementingkan pengetahuan juga bermakna menerokai kepelbagaian di negara kami. Di Malaysia, kepelbagaian adalah sumber kekuatan ekonomi kami. Memupuk bakat daripada setiap lapisan masyarakat menyediakan asas bukan sahaja bagi pertumbuhan ekonomi tetapi juga kestabilan politik.
Menyentuh mengenai 1Malaysia, Najib berkata rakyat seluruh Malaysia turut bersama-sama dengan beliau dalam menyokong konsep itu, yang merupakan usaha untuk menggalakkan penerimaan dan penghormatan antara gender, kebudayaan, bangsa, agama dan negara.
Sumber : Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Our Blues drama review -malay version
Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...
-
Hidup ini ada pasang surutnya, kadang-kadang kita tiada kawan pada saat-saat kita sangat memerlukan kawan. Tapi kita ada diri kita sendiri, ...
-
KURSUS PERGURUAN LEPASAN IJAZAH(KPLI) SUDAH BOLEH DISEMAK MELALUI LAMAN WEB tarikh peperiksaan MTEST 28 MARCH 2009 http://apps.emoe.gov.my/k...
-
PENGENALAN ISAC adalah singkatan kepada IT Skill Assessment and Certification. Ia merupakan satu alat bagi menentukan kesediaan personel ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan