Rabu, 8 Jun 2022

Pengalaman berkawan dengan pesakit Bipolar




Saya ada seorang sahabat yang menghidapi penyakit Bipolar. Sebelum ditempatkan bersama dengan dia, saya selalu mendengar tentang pesakit anxiety disorder, dan serangan panic attack yang mana kawan-kawan sendiri sahaja yang menghidapinya. Tapi setelah duduk bekerja bersama kawan menghidapi Bipolar, baru saya faham penyakit ini sebenarnya.

Sebelum saya kongsi pengalaman saya ini, saya ingin memaklumkan dahulu kepada semua pembaca yang apa yang saya alami ini, hanyalah pengalaman personal saya yang tidak dapat saya sokong dengan fakta perubatan. Saya terpanggil untuk menulis tentang pengalaman ini adalah bagi memberi pendedahan awal kepada semua pembaca yang berdepan dengan pesakit Bipolar dan yang seumpama dengannya atau sakit-sakit psikiatri lain. Kadang-kala saya rasa sedih apabila melihat ada sesetengah rakan sekerja saya yang kurang faham tentang gejala-gejala yang dihidapi oleh sahabat saya ini, dan berharap agar setelah anda membaca penulisan saya ini, maka anda dapat mula memahami apakah penyakit ini sebenarnya.


Bipolar adalah sejenis penyakit mental yang melibatkan gangguan emosi yang ketara. Boleh baca di link ni tentang Bipolar : 


https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bipolar-kecelaruan-emosi-silih-berganti-218083


Betul apa yang dituliskan dalam artikel di atas adalah simptom-simptom yang dihidapi oleh sahabat saya ini.


Saya boleh gambarkan keadaan sahabat saya ini adalah ibarat seperti gelas kaca yang pecah. Dia tak sama seperti kita yang sihat mental ini. Maksud saya tidak sama adalah dari segi penerimaan tentang sesuatu perkara dan apatah lagi kata-kata nasihat. Memang dia tak dengar kalau dia dalam situasi mania. Dia bergantung pada ubat untuk mengawal mindanya. Sahabat saya boleh membeli seekor kucing dengan harga RM12 ribu tanpa rasa bersalah atau rasa rugi. Cakaplah apa pun pada dia, dia tak rasa apa-apa. Di sini kita memang tak boleh nak marah dia sebab dia adalah gelas kaca yang telah pecah. 


Saya tak suka cerita apa-apa yang saya ada, contohnya beli kasut baharu, handbag baharu atau pergi melancong. Sebab, takut dia trigger. Maksud trigger adalah apa yang saya cerita pada dia boleh mencetuskan mania kepada dia dan menyebabkan dia akan berbelanja lebih dari yang saya belanja. 


Sahabat saya ni juga pernah mengalami psikosis di mana dia cuba mencederakan orang lain dan diri dia. Ini selalu terjadi apabila dia terlalu marah dan tiada orang sekeliling yang cuba menenangkan dia. Apa yang selalu saya buat adalah mendengar dengan sungguh-sungguh setiap kali dia bercerita tentang apa-apa sekalipun. Mujur tugas pejabat saya ini, agak kurang sibuk. Saya adalah petugas di kaunter yang tidak berapa sibuk. Hanya sekali-sekala tetamu datang dan ada panggilan telefon. Jadi saya boleh meluangkan masa mendengar ceritanya.


Bagi saya sahabat saya ni sensitif, dan saya cuba tidak mengecilkan hati dia. Namun bukanlah saya kata saya berlakon. Saya menunjukkan diri saya yang sebenar, kalau saya tak setuju dengan keputusan dia saya akan cakap, cuma cara kita bercakap hendaklah rasional dan bukan marah. Jangan berdebat dengan dia, bila saya mengutarakan pendapat dan dia tidak setuju, maka saya akan biarkan sahaja. Bagi saya, dia bukan sihat dari segi mental, maka saya tak perlu membetulkan kesihatan dia itu.


Dari segi perubatan, keadaan otak pesakit Bipolar jika diimbas sudah menunjukkan perbezaan berbanding otak yang normal. Boleh tengok gambar di bawah ini :





Nampak kan? jadi bila otak pesakit Bipolar begitu, jadi bagamana dia nak mengawal mindanya sama seperti kita yang sihat ini?

Memang tak dinafikan, agak pening bila melayan pesakit ini kerana moodnya boleh berubah dengan cepat. Tapi, seperti yang saya kata sebelum ini, elakkan berdebat dengan pesakit ini. Biarka dia meluahkan, kalau kita tak setuju kita bagitahu dengan sabar dan tidak cepat melenting. Jika nasihat kita tidak diterima, biarkan saja. Lama-lama, dia akan cuba rasional sendiri. 

Paling penting adalah pesakit Bipolar mendapatkan ubat dan rawatan dari Hospital Psikiatri macam sahabat saya ini. Doktor kadang-kadang melawat dia ditempat kerja dan dirumah. Kalau tak dapat melawat, doktor akan telefon. Begitulah istimewanya layanan doktor kepada pesakit sebegini. 

Cuti sakit memang mudah diperolehi mereka dari hospital. Ini tidak bermakna bahawa mereka tidak boleh bekerja. Pesakit bipolar boleh menjalankan kerja seperti biasa malah lebih baik. Namun, jika mereka tidak sihat atau dilanda mania, maka biasanya doktor akan memberikan mereka rehat. Ini kerana pesakit Bipolar boleh terus bekerja tanpa rehat sehingga badan mereka rasa sakit. Waktu mania ini boleh menyebabkan mereka kurang tidur. Bila badan mereka tidak berehat, ini boleh menjejaskan fungsi badan mereka yang lain. Jadi sebab itulah doktor sarankan untuk berehat.

Kesimpulannya, bagi kita yang sihat ini, jangan lah menunjukkan stigma negatif kepada pesakit-pesakit mental. Bukan setakat pesakit Bipolar malah banyak lagi. Mereka perlukan sokongan rakan-rakan, keluarga dan majikan. Percaya kuasa Allah yang boleh menyembuhkan dan memberi penyakit. Kita semua juga tidak terlepas dari risiko penyakit mental tersebut. Jika kita atau keluarga kita disahkan menghidapi penyakit tersebut, tak kan lah masa itu kita baru nak memahami mereka?

Tiada ulasan:

Our Blues drama review -malay version

  Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...