Khamis, 30 Julai 2009

Makna jasa perajurit sekarang

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

BUKAN sesuatu yang pelik jika ada kalangan generasi muda tidak mengetahui tentang keistimewaan tanggal 31 Julai.

Jika ditanya murid-murid sekolah rendah, belum tentu mereka ingat akan tarikh tersebut. Pelajar peringkat menengah pun tidak mustahil akan tergaru-garu kepala jika ada cubaan untuk mengaitkan otak mereka dengan apa di sebalik 31 Julai.

Bagi generasi muda tarikh itu tiada sebarang makna. Tiada sambutan besar-besaran yang sarat dengan kemeriahan berlangsung pada tarikh itu. Tiada hiburan jauh sekali perarakan berwarna-warni untuk mengingatkan mereka kepada tanggal istimewa itu.

Mungkin bagi generasi muda, tarikh itu sama seperti hari biasa. Tiada nilai jauh sekali kepentingan yang menuntut mereka memahat 31 Julai sebagai salah satu tarikh penting yang mesti ada dalam diari mereka.

Kejanggalan tarikh tersebut di kalangan generasi muda sangat berkait rapat dengan betapa asingnya golongan itu dengan kewujudan Tugu Negara.

Berapa ramai generasi muda tahu lokasi tugu yang asasnya dibina pada 1963 itu? Tahukah mereka untuk apa Tugu Negara dibina biarpun kerajaan terpaksa membelanjakan kira-kira RM1.3 juta? Atau berbaloikah modal sebanyak itu untuk memperingati tentera yang terkorban demi mempertahankan negara semasa zaman perang dan darurat namun akhirnya selepas lebih 46 tahun terbiar tegak bersendirian.

Boleh saja dirumuskan Tugu Negara bukan destinasi pilihan generasi muda. Bukan cerita dongeng jika dikatakan ada kalangan warga Malaysia yang telah berpuluh tahun menetap di Kuala Lumpur tetapi tidak pernah mengunjungi Tugu Negara.

Bagi generasi muda kini, Pavillion, Starhill, KLCC lebih sesuai dengan jiwa mereka. Sebab itu belum pun gedung-gedung itu siap dibina, namanya telah meniti di bibir. Sebaik dibuka, wajah-wajah yang menyerbu dan menjelajah majoritinya muda-muda dan berkulit sawo matang.

Lantas nilai tarikh 31 Julai dan hubungkaitnya dengan Tugu Negara semakin jauh daripada generasi muda.

Bukan kerana tanggal dan monumen itu tidak penting. Sebaliknya disebabkan kurangnya peranan pihak yang berkenaan memupuk kesedaran di kalangan orang muda tentang pentingnya tarikh 31 Julai yang diisytihar kerajaan sebagai Hari Pahlawan.

Amat sedikit juga usaha untuk membuktikan bahawa Tugu Negara itu bukan sekadar hidup namanya pada 31 Julai sahaja.

Malah kadang-kadang mahu saja disimpulkan umpama tiada langsung usaha untuk merangsang minda rakyat supaya mengetahui tentang Hari Pahlawan dan Tugu Negara.

Lebih menyedihkan, menjelang 31 Julai, diuar-uarkan perihal kempen mengutip derma sempena Hari Pahlawan. Untuk apa dan ke mana dana itu disumbangkan tidak diperjelaskan secara rapi.

Telah berapa juta ringgit dikumpulkan sejak kutipan Hari Pahlawan dilancarkan. Tetapi di mana hasilnya, siapa yang menikmatinya dan apa laporan kewangan duit yang dikutip itu?

Sememangnya persoalan itu wajar dibangkitkan. Lantaran hampir setiap bulan kita didedahkan tentang bekas tentera yang hidup umpama kais pagi makan pagi dan kais petang untuk makan petang - malam dilalui dengan perut kosong lantaran tiada apa yang boleh dikais.

Ada kalangan bekas tentera yang cedera parah, kehilangan anggota badan dan menanggung penderitaan seumur hidup dibiarkan sedemikian untuk tempoh berpuluh-puluh tahun.

Bukankah mereka yang sepatutnya mendapat manfaat daripada dana Hari Pahlawan yang turut disumbangkan oleh syarikat korporat dengan harapan dapat berkongsi keprihatinan meringankan beban mereka.

Adakah Hari Pahlawan tujuannya hanya untuk mengutip dana? Melarat sungguhkah bekas tentera dan anggota tentera di negara ini sehingga keutamaan sambutan hari khusus untuk mereka tertumpu kepada kutipan sumbangan, derma atau sedekah?

Susah benarkah untuk mengumpul derma bagi membantu dana untuk perwira-perwira tanah air sehinggakan satu ketika dulu kempen mengutip sumbangan dinamakan Rayuan Hari Pahlawan?

Dan mengapa pra sambutan Hari Pahlawan yang dimulakan dengan pengumuman kutipan derma hanya berlangsung beberapa hari menjelang 31 Julai?

Hakikatnya kempen Hari Pahlawan harus berlangsung sepanjang tahun. Julai menjadi bulan kemuncaknya - bukan untuk mengumumkan dana yang dikutip atau nama syarikat-syarikat yang menghulurkan sumbangan tetapi penghargaan dan pengiktirafan terhadap anggota tentera yang banyak berkorban untuk negara.

Lebih daripada itu betapa pentingnya sejarah negara bangsa yang merdeka, dijajah dan merdeka semula dipahat di fikiran dan perasaan semua rakyat Malaysia terutama generasi muda.

Bekas tentera mesti diingati, dihargai dan diiktiraf lantaran keberanian dan keikhlasan mereka bermati-matian mempertahankan tanah air. Darah tentera yang terkorban kerana membebaskan negara daripada cengkaman penjajah mesti dipastikan terus berwarna merah.

Sementara tentera yang sedang berkhidmat diiktiraf kerana peranan dan sumbangan mereka mengekalkan keamanan negara ini.

Cubaan memperlekehkan sumbangan anggota tentera baik sebelum negara mencapai kemerdekaan mahu pun yang sedang berkhidmat semakin jelas.

Dan kita semestinya tidak mahu agenda itu berterusan apabila Hari Pahlawan dikenali sebagai hari mengutip derma. Sebaik-baik selesai proses meletakkan kalungan bunga di makam pahlawan tiada apa lagi yang gah untuk dipertontonkan kepada dunia tentang kehebatan tentera Malaysia.

Tugu Negara yang meriah seketika akan ditinggalkan bersama tujuh patung bersalutkan gangsa dan acara rutin mengibarkan bendera di situ.

Hakikatnya, banyak cara untuk menjadikan Hari Pahlawan sebagai tarikh penting yang mudah diingati oleh generasi muda.

Bermula tahun baru, program-program 'mengembalikan ingatan' rakyat Malaysia terutama generasi muda mengenai perjuangan negara bangsa mesti dimulakan.

Atur minda murid-murid sekolah tentang rentetan sejarah perjuangan membebaskan negara terutama pada tahun-tahun gawat dicengkam penjajah dan keperitan darurat bermula dari tarikh 1 Januari hingga 31 Disember.

Cetuskan minat mereka untuk mengetahui apa yang terjadi dan mengapa tarikh-tarikh penting itu mesti diingati. Uji akal fikiran serta sejauh mana mereka berminat untuk menjadi generasi yang prihatin terhadap perjuangan memelihara maruah negara.

Anjurkan program bersifat patriotisme, sebarkan maklumat dan ilmu mengenai pejuang bangsa. Semua yang bergelar pemimpin baik di peringkat negara, kementerian, jabatan, sekolah mahu pun di rumah mesti menggalas tanggungjawab ini.

Kenalkan generasi muda kepada Tugu Negara dan pahat di minda mereka tarikh 31 Julai yang akan muncul esok.


Sumber : Utusan

1 ulasan:

Unknown berkata...

saya pernah menjawab soalan pengetahuan am dalam peperiksaan SPA yang berkaitan dengan hari pahlawan. Saya harap semua dapat baca artikel ini.

Our Blues drama review -malay version

  Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...