Khamis, 30 Julai 2009

Natrah


TRAGEDI NATRAH
Sumber : Fatini Yaacob, majalah Dewan Masyarakat, DBP, April 1989 di m/s 20.

"Ummat Islam sangat pantang kalau agama suci mereka disentuh atau dipermain-mainkan. Bila terkenang kembali kisah Natrah (bekas isteri Mansor Abadi) yang mana ummat Islam Tanah Melayu membuat rapat umum di Singapura dihadiri lebih 2,000 orang, yang mengakibatkan seramai 18 orang mati syahid dan 173 orang cedera parah bagi mempertahankan akidah seorang muslimah.

Kisah Natrah; ia amat menyayat hati....

1937 24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh
Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad.Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman , Terengganu . Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.

15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung ,Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.


September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.


19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.

12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.

22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura


24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill,Singapura

28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.

19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura.

28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill

1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang ,Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam ,perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad , Siti Aisyah.

2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian ? Bapanya lebih berhak ke atasnya.

12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian.

12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.

13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang , Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
Ada protes orang Islam di Karachi , Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.

15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya , Sarjan Hertogh.
Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom ?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari . Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.

Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.

9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.

10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.

17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.

Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh.

25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah

20 Julai 1953 Surat Natrah kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.


1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Natrah yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.

26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Natrah ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.

20 April 1956 Natrah berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.

15 Februari 1957 Natrah bersalin anak lelaki pertama. Natrah mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline , Hands dan Paul.

20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah menceritakan dia sudah berkeluarga.

3 Februari 1959 Surat Natrah kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.

25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Natrah dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Natrah, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Natrah telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru danpeguam , hidup mewah.

16 Ogos 1976 Natrah didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt . Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Natrah dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Natrah ditangkap.

26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.

1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
Disember 1979 Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Natrah dan yang dikatakan bersepakat dengan Natrah untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht , Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.

1983 Natrah bercerai dengan Tom Ballermans

1984 Natrah masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.

15 September 1984 Natrah meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga ...? Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.


Natrah kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarkat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Natrah hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.
Kisah ini diabadikan dalam buku 'Tragedi Natrah' dan 'Maria Hertogh riots' di Singapura dan perpustakaan utama di Belanda......

Kalaulah Natrah tahu...

Kisah budak perempuan bernama Natrah yang dibela sebuah keluarga Melayu tetapi direbut bapanya, seorang Belanda, menggemparkan Tanah Melayu. Selepas 59 tahun, peristiwa murtad itu terus diperkatakan.

PEMERGIAN Bertha Hertogh, atau nama Islamnya, Natrah, 72, pada 9 Julai lalu, disifatkan bekas penulis dan penyelidik untuk majalah Dewan Masyarakat, Datin Fatini Yaacob, 50, sebagai satu pengakhiran kepada penderitaan wanita malang itu.

Fatini pernah menjejak Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu untuk merungkai kisah pencetus Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 itu.

Natrah, yang dilahirkan pada 24 Mac 1937, menjadi rebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad, dengan keluarga kandungnya yang berasal dari Belanda.

Sebelum itu, Natrah ditinggalkan ibunya, Adeline Hunter, di bawah jagaan Che Aminah ketika berumur lima tahun di Jawa setelah bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ditawan tentera Jepun. Sepanjang berada di bawah jagaan Che Aminah, Natrah dididik dengan agama Islam dan adat Melayu.

Setelah berpindah ke Singapura, Hertogh menuntut Natrah dikembalikan kepadanya.

Pada mulanya Che Aminah memenangi hak penjagaan ke atas Natrah. Namun tindakannya menjodohkan Natrah dengan Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun, mengeruhkan keadaan kerana Natrah baru berumur 13 tahun.

Undang-undang Belanda menetapkan remaja di bawah 16 tahun tidak boleh dinikahkan dan pernikahan itu berlangsung di Singapura yang mengamalkan undang-undang British.

Akhirnya, pernikahan itu dibatalkan dan Natrah dibawa pulang ke Belanda. Ketika di Belanda, Natrah dimurtadkan, sekali gus mencetus kemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu. Akibatnya, sebanyak 18 nyawa diragut dan 200 lagi tercedera berikutan Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950.

Khamis lalu, Natrah dilaporkan meninggal dunia di Huijbergen, Belanda selepas lama menderita penyakit leukemia.

"Mengikut kajian dan pemerhatian saya sehingga hari dia meninggal dunia, Natrah tidak pernah mahu melupakan bekas suaminya, arwah Mansor Adabi, ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed, keluarga angkatnya yang kini berada di Kemaman, Terengganu, dan kehidupannya di Singapura," kata Fatini yang kini merupakan Karyawan Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Malah, ujar beliau, hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.

"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksa untuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklah melupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yang berkaitan dengan Islam.

"Sedangkan semasa di bawah jagaan Che Aminah, hubungan Natrah dengan ibu angkatnya itu cukup mesra dan penuh kasih sayang.

"Perkara ini diakui seorang pegawai Inggeris yang ditugaskan untuk menjaga Natrah ketika diletakkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di Singapura, Tom Eames Hughes, yang kemudiannya menulis kisah itu dalam bukunya bertajuk Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh (1980)," kongsinya.

Natrah cuba bunuh suami

Menjelaskan kenyataan itu dengan merujuk rentetan kejadian cubaan Natrah membunuh suami kedua sehingga mengakibatkan perceraian, cubaan membunuh diri dan kekerapan ibu kepada 10 orang anak itu dimasukkan ke wad sakit jiwa, Fatini menambah, ia turut dilihat dengan jelas olehnya ketika menemu ramah Natrah di AS pada tahun 1989.

"Setiap kali menyebut nama Mansor Adabi, air matanya bergenang. Malah, bahasa tubuhnya juga berubah. Padahal waktu itu dia sudah berumur 52 tahun.

"Semasa temu ramah pula dia berbahasa Inggeris sepanjang masa. Tetapi ada juga dia tersasul menyebut 'cabai kerawit'. Jadi sebenarnya dia masih ingat bahasa Melayu," kenang Fatini yang turut mengingatkan bahawa teman lelaki terakhir Natrah ialah seorang warga Indonesia.

Menggambarkan perwatakan Natrah sebagai seorang yang lemah lembut, Fatini bagaimanapun mengakui sukar untuk sesiapa pun membaca kesengsaraan itu pada wajahnya.

"Dia bijak menyembunyikan perasaannya. Malah hubungannya dengan anak-anak amat baik," katanya.

Ketika berita Natrah meninggal dunia sampai kepadanya, Fatini masih dalam proses melengkapkan buku biografi wanita malang itu.

"Kematian Natrah menimbulkan rasa terkilan dalam diri saya kerana banyak lagi yang saya ingin lakukan untuknya.

"Selain melengkapkan biografi ini, saya berharap benar agar dapat membantu Natrah mengubah persepsinya terhadap banyak perkara.

"Kalaulah Natrah tahu arwah Mansor hanya berhenti berusaha mendapatkannya semula setelah menerima surat yang kononnya dikirimkan Natrah. Dalam surat itu, Natrah memberitahu Mansor tentang dia sudah memeluk agama Katolik dan meminta Mansor melupakannya...

"Kalaulah Natrah tahu ada seorang lelaki bernama JC Vermeulen yang selama ini berusaha untuk menghubungkannya semula dengan Mansor melalui surat-surat yang dihantar 'mereka'...

"Natrah juga berasa bertanggungjawab ke atas kematian yang berlaku dalam rusuhan itu sehingga menyangka ada orang mahu membunuhnya selama ini," ujar anak kelahiran Perlis ini.

Menyentuh tentang rusuhan yang berlaku, Fatini berpendapat ia berpunca daripada tindakan media tempatan Singapura yang bertindak melanggar sensitiviti agama Islam.

"Ia berpunca daripada provokasi media tempatan Singapura yang berkali-kali memaparkan gambar Natrah berlutut di depan patung Virgin Mary. Perkara itu menyentuh sensitiviti agama," luahnya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Komen saya :
Kisah Natrah telah menarikhati saya untuk membaca dan melayari internet tentangnya. Walaupun saya tidak mengenali Natrah atau mengkaji tentang kehidupannya, tetapi usaha Datin Fatini Yaacob menkaji dan menulis tentang Natrah meruntun hati saya untuk turut bersimpati atas kisahnya.

Peristiwa ini merupakan salah satu peristiwa menjelang kemerdekaan Tanah Melayu. Pada masa itu kita dapat lihat betapa sensitiviti Melayu sangat peka ibarat gelas kaca nipis. Namun kini saya lihat Melayu lebih bersifat pentingkan diri dan kurang jati diri.

Peristiwa ini bukan sahaja menunjukkan kisah keluarga dan percintaan yang tragis namun melihatkan identiti Melayu dan semangat yang ditunjukan. Betapa pada masa dulu semangat jati Melayu sangat peka berkaitan islam dan bangsa.

ada sesuatu yang kita boleh pelajari dari peristiwa ini. Malah telah banyak peristiwa seperti ini berlaku sekarang. Persoalannya, bagaimanakah penerimaan kita?

Tiada ulasan:

Our Blues drama review -malay version

  Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...