Isu pemansuhan PPSMI merupakan satu lagi isu yang melanda seluruh negara terutamanya sistem pelajaran Malaysia. Selama 6 tahun perlaksanaan PPSMI, kerajaan telah berusaha merangka silibus dan insentif juga telah diberi kepada guru-guru yang mengajar bahasa inggeris. Melalui ini tidak dapat dinafikan betapa banyak wang ringgit dan belanja yang telah diperuntukan kerajaan untuk melaksana dasar ini. Sepanjang pelaksanaan itu juga kerajaan mendapat pelbagai maklumbalas sama ada positif mahupun negatif. Ketidakpuashatian itu disuarakan dengan gamat sekali menjelang tahun-tahun kebelakangan ini yang mana kebanyakan cendekiawan bahasa mengeluarkan pendapat dan hujah masing-masing. Pada pandangan saya sama ada positif atau negatif sokongan yang diberikan oleh rakyat, segalanya ada alasan yang kukuh selagi ia tidak diselitkan dengan misi politik atau kepentingan sesetengah pihak. Namun adakah pemansuhan bahasa pengajaran ini merupakan satu jaminan kepada Bahasa Melayu untuk berkembang maju? Jawapan saya, tidak.
Mengapa saya katakan tidak adalah kerana, pembelajaran dan pengajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa inggeris sebenarnya tidak langsung boleh menggugat bahasa melayu sebagai bahasa ibunda tanah air. Ini kerana pembelajaran Sains dan Matematik, lebih menekankan konsep dan formula yang memerlukan pemahaman dan latihan yang banyak. Banyak istilah dalam subjek ini adalah dari bahasa latin yang diinggeriskan. Maka tiada siapa yang akan kisah tentang tahap sastera dan tatabahasa yang digunakan selagi ia tidak menyalahi konsep dan formula subjek itu. Dengan pemansuhan bahasa inggeris dalam subjek itu, kita akan menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa pengantara dan silibus subjek, namun siapa boleh menjamin bahawa bahasa melayu boleh ditingkatkan melalui bahasa pengajaran ini sedangkan pelajar hanya mahu memahami konsep dan menguasai konsep tersebut.
Isu yang sepatutnya ditimbangkan adalah pembelajaran yang tergugat oleh pelajar luar bandar terutamanya kerana penyampaian subjek tersebut oleh guru yang tidak berkelayakan untuk mengajar bahasa inggeris. Di sini saya tidak menyalahkan guru, tetapi kita perlu melihat isu ini dari perpektif yang luas. Tahap pelaksanaan PPSMI yang kurang mantap dan perlu diperbaiki sebenarnya adalah isunya. Jika subjek itu diajar dalam bahasa melayu sekalipun tidak bermakna selagi pelajar masih tidak faham akan istilah, konsep dan peraturannya. Lantas isu ini dimanipulasikan oleh segolongan ahli politik yang berkepentingan. Tapi itu merupakan satu isu yang matlamatnya berbeza dan saya tidak akan sentuh tentang itu.
Sebenarnya apa yang lebih penting dalam pemantapan bahasa melayu adalah sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu itu sendiri di sekolah. Jika subjek itu tidak dapat menarik minat pelajar, maka sudah tentunya itu adalah risiko kepada bahasa melayu juga. Undang-undang berkaitan pemeliharaan bahasa juga penting agar masyarakat memandang serius tentang ejaan pada papan tanda, struktur ayat dalam media dan penggunaan bahasa yang betul dalam majlis-majlis kerajaan dan swasta. Aliran sastera juga mesti dianggap sebagai satu cabang akademik yang penting seimbang dengan kemajuan negara.
Bagi bahasa inggeris, penguasaan bahasa itu mestilah ditekankan sejak di sekolah rendah lagi. Bahasa inggeris mesti dijadikan subjek teras yang utama yang perlu pelajar lulus. Guru-guru yang mengajar bahasa inggeris perlu di lantik dengan kelayakannya. Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak belajar lebih dari satu bahasa. Tabiat membaca perlu dipupuk bukan setakat bahan berbahasa melayu sahaja. Pihak media juga digalakkan mengelurkan majalah akademik dan sosial dalam bahasa inggeris. Menggalakkan saluran akademik atau rancangan berbahasa inggeris juga boleh diwujudkan oleh syarikat penyiaran. Banyak lagi usaha yang kita boleh lakukan untuk memantapkan bahasa. Jika kita mengambil semua langkah ini, mungkin kita dapat membantu pelajar dalam bahasa inggeris.
Perubahan yang kerap dalam dasar pelajaran negara memberi gangguan kepada fokus pelajar. Mereka sepatutnya menumpukan minda mereka kepada ilmu dan bukannya dengan isu dasar kerajaan yang berubah-ubah. Mereka tidak nampak kepentingan menegakkan bahasa kerana mereka masih tertumpu dalam menimba ilmu. Minda mereka yang segar ini perlu kita galakkan dengan ilmu-ilmu yang berguna agar satu masa nanti boleh dimanfaatkan oleh mereka. Sampai bila kita asyik bertegang leher tentang bahasa sedangkan isu penyatuan bangsa dan kemajuan adalah lebih penting.
Menegakkan sahaja bahasa bukanlah satu-satunya jaminan untuk terus berjaya. Bahasa itu terbentuk dengan kukuhnya melalui jati diri dan tanggungjawab sosial pada bangsa dan negara. Bagi menjadi bangsa yang berjaya dan dihormati dikalangan dunia, penguasaan ilmu adalah tunjangnya. Untuk menguasai ilmu, kita mesti mempelajari semua ilmu dalam pelbagai bahasa. Bahasa inggeris dipandang sebagai bahasa yang memandu kepada kemajuan dan penguasaan ilmu pada masa kini. Ia tidak mengancam bahasa melayu sebaliknya bahasa melayu itu sendiri terancam kerana sikap kita sendiri.
Kesimpulannya, isu penguasaan bahasa melalui bahasa pembelajaran bukan lah satu-satunya cara yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan pencapaian bahasa inggeris dan bahasa melayu. Dari itu saya berharap agar kekeliruan ini dapat diselesaikan semula bagi menjamin perpaduan dan proses pembelajaran pelajar-pelajar kita berjalan lancar, sekaligus menjamin pencapaian pelajar agar berjaya tanpa mengabaikan kepentingan bahasa dalam ilmu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Our Blues drama review -malay version
Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...
-
Hidup ini ada pasang surutnya, kadang-kadang kita tiada kawan pada saat-saat kita sangat memerlukan kawan. Tapi kita ada diri kita sendiri, ...
-
KURSUS PERGURUAN LEPASAN IJAZAH(KPLI) SUDAH BOLEH DISEMAK MELALUI LAMAN WEB tarikh peperiksaan MTEST 28 MARCH 2009 http://apps.emoe.gov.my/k...
-
PENGENALAN ISAC adalah singkatan kepada IT Skill Assessment and Certification. Ia merupakan satu alat bagi menentukan kesediaan personel ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan