Khamis, 1 Oktober 2009

Kawalan Trafik Udara ( ATC) - sambungan

ARKIB : 30/09/2009 UTUSAN

Mengelak tragedi di udara


Bagi Azah Fauziah Arif, tugasnya sebagai area procedural controller perlu berkoordinasi dengan pusat kawalan penerbangan di negara jiran seperti di Bangkok, Jakarta dan lain-lain.


Lesennya cukup besar, tanggungjawabnya juga sungguh berat dan lebih berkuasa daripada seorang juruterbang. Bahkan, arahan mereka harus diikuti dan juruterbang yang ingkar boleh digantung lesen penerbangannya.
Tugasnya termasuk memberi arahan dan kebenaran kepada pesawat-pesawat bagi tujuan mengelakkan perlanggaran di udara dan di bumi serta mengatur trafik udara dengan selamat, teratur dan pantas.
Seberat tugasnya, berat juga kursus yang harus diambil bagi melayakkan seseorang menjadi Pegawai Kawalan Trafik Udara. Kursus yang memakan masa tiga tahun itu benar-benar menguji kesabaran, ketahanan dan komitmen seseorang dalam mengharungi impian bagi menjawat jawatan tersebut. Tidak ramai yang sanggup meredahnya dan ramai hanya sekadar berjaya di separuh jalan.

Begitu juga dengan kewajipan untuk mendapatkan lesen yang membolehkan seseorang pegawai itu dibenarkan bekerja di posisi tertentu, kefasihan berbahasa Inggeris dan sihat fizikal dan mental tanpa obesiti, rabun atau gayat.

Maka yang tinggal ialah individu yang terbaik dan sanggup menghadapi cabaran serta mempunyai tahap kecekapan yang tinggi bagi mengendalikan pergerakan penerbangan dengan cekap tanpa mengancam keselamatan sebagai pegawai kawalan trafik udara.

Pusat Kawalan Trafik Udara FIR Kuala Lumpur yang terletak di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), merupakan nadi pusat kawalan untuk seluruh negara.
Pusat ini juga telah menjadi rumah kedua bagi empat wanita gigih yang merupakan antara 14 peratus pegawai kawalan trafik udara wanita di seluruh negara yang seolah-olah 'penjaga nyawa' kepada mereka yang berada dalam pesawat.

Penolong Pengarah (Sumber Manusia) Jabatan Penerbangan Awam yang juga approach radar controller, Wan Fadhilah Wan Zainal Abidin, 42, memberitahu, selain bertugas di unit sumber manusia, beliau turut menjalankan tugas kawalan trafik udara sekiranya terdapat kekurangan kakitangan.
Bertindak sebagai approach radar yang setakat ini hanya disandang oleh lima orang wanita, adalah satu tugas berat dan berbahaya. Tugasnya menjalankan pengawasan radar kepada pesawat-pesawat yang berlepas dari dan akan mendarat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), SAAS dan Sepang atau pesawat-pesawat yang melalui ruang angkasa di bawah jagaan.

"Selain itu, saya juga menentukan slot masa bagi pesawat-pesawat yang ingin berlepas jika keadaan memerlukan dan sentiasa membuat pemeriksaan atau kesesuaian dan perhatian ke atas video map.
"Untuk duduk di approach radar, bukan calang-calang orang, hanya yang berkeyakinan, berani, pemikiran cepat, pandai mengawal situasi dan tidak teragak-agak membuat keputusan. Ini kerana merekalah mengawal pergerakan kapal di kedudukan tengah turun dan naik iaitu di paras 3,000 kaki hingga 14,000 kaki.
"Untuk sampai ke jawatan ini, sekurang-kurangnya mempunyai 10 tahun pengalaman dan telah mendapat kelima-lima lesen pegawai kawalan trafik udara iaitu Aerodrome Control Rating, Approach Control Rating, Area Procedural Rating, Area Radar Rating dan Approach Radar Rating.

"Dahulu saya bercita-cita menjadi juruterbang, tetapi rupa-rupanya jawatan yang disandang ini lebih berkuasa daripada juruterbang.
"Jika juruterbang tidak ikut arahan pegawai kawalan trafik maka laporan akan dibuat dan jika didapati bersalah, lesen juruterbang berkenaan akan ditarik. Ini kerana mereka tidak mengikut peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa," kata bekas tutor Universiti Malaya ini.
Tambahnya, seseorang pegawai kawalan trafik jua harus tidak berada dalam keadaan stres. Segala tekanan sama ada dengan keluarga atau lain-lain harus diselesaikan sebelum memulakan kerja.
Ini kerana pekerjaan yang dilakukan melibatkan nyawa orang dan sudah tentu keputusan yang baik tidak dapat dilakukan jika fikiran bercelaru.

Sementara itu seorang lagi area radar controller wanita, Rahayu Ali, 37, menyifatkan jawatan yang disandang sejak 12 tahun lalu itu cukup mencabar.
"Bukan sekadar kursus tetapi kewajipan untuk mendapatkan lesen yang membolehkan seseorang itu bertugas serta kefasihan dalam berbahasa Inggeris benar-benar menguji kesungguhan seseorang untuk terus mengabdikan diri dalam kerjaya ini.

"Kemalangan udara adalah risiko utama dalam kerjaya ini sekiranya berlaku kecuaian di peringkat pegawai kawalan trafik udara dan juruterbang. Bukan sekadar satu dua nyawa tetapi ratusan.
"Justeru sebagai area radar controller yang berkomunikasi dengan juruterbang bagi mengelakkan berlakunya sebarang pertembungan pesawat di udara, percaturan kedudukan pesawat dan komunikasi yang lancar dan tepat sangat penting.

"Bertugas hanya berpandukan video map tanpa melihat sebenarnya kedudukan pesawat seperti mana di menara kawalan, lebih mencabar kerana kami perlu merancang susunan trafik dengan pantas dan cekap tanpa mengancam keselamatan dengan mengambil kira keadaan cuaca dan alat bantu penerbangan yang sedia ada.
"Penyampaian arahan kepada juruterbang juga perlu terang dan tepat malah segala penerangan dan informasi bagi tujuan keselamatan mengendalikan pesawat harus disediakan oleh area radar controller,'' katanya.

Ketangkasan

Menurut graduan pengurusan perniagaan Universiti Utara Malaysia yang menjaga sektor lima iaitu kawasan Pekan, Pahang dan ke atas, Ho Chin Minh, Bangkok, Manila dan Macau, perebutan untuk mendarat dahulu oleh pesawat sering berlaku.

"Menjadi tugas kami untuk menyelesaikan perkara ini dengan menyusun trafik mengikut jenis dan besarnya sesuatu pesawat. Justeru itu, selain mengawal trafik, pegawai harus tahu setiap ciri pesawat yang dikendalikannya.

"Ketangkasan pegawai harus ada kerana dalam masa setengah atau satu jam sekurang-kurangnya 15 pesawat memerlukan bantuan pegawai sama ada untuk berlepas, mendarat atau melepasi ruang angkasa.
"Cuaca buruk kadangkala menyebabkan juruterbang tidak mengikut arahan. Sehubungan itu, area radar controller perlu fleksibel, kreatif dan mempunyai pelan B dalam membetulkan keadaan.
"Inilah perlunya pengalaman, semakin lama seseorang itu bertugas, semakin pantas dia dapat menyelesaikan masalah tersebut,'' kata wanita kelahiran Batu Pahat, Johor.

Sementara itu Azah Fauziah Ariff, 30, yang bertindak sebagai area procedural controller menganggap tanggungjawab yang diserahkan kepadanya begitu besar dan memerlukan pengorbanan bukan sahaja masa tetapi tenaga bagi melayakkan beliau menyandang jawatan tersebut.

"Sebagai area procedural controller, saya menjalankan koordinasi dengan kawalan penerbangan FIR jiran dalam sektor 1 yang melibatkan Bangkok, Jakarta, Butterworth dan lain-lain.
"Saya harus pastikan kawalan penerbangan yang dituju oleh pesawat, contohnya dari Kuala Lumpur ke Bangkok, menerima perincian mengenai ketibaan pesawat tersebut.
"Justeru ia berbeza dengan area radar controller yang berhubung terus dengan juruterbang sedangkan saya berhubung dengan kawalan penerbangan berdekatan,'' kata graduan Bioteknologi dari Universiti Putra Malaysia ini.

Anak jati Kuala Lumpur yang baru mendirikan rumah tangga ini memberitahu, seseorang yang telah memasuki kerjaya ini harus pandai membahagikan masa dan mempunyai pasangan yang memahami.
"Ini kerana keadaan syif yang sungguh berbeza daripada kerjaya yang lain. Contohnya, mula bekerja 1 petang hingga 7 malam hari Isnin, 7 pagi hingga 1 petang (Selasa) dan bersambung 7 petang (Selasa) hingga 7 pagi (Rabu). Cuti diberi setelah dua hari bekerja, ini bermakna cuti Rabu dan Khamis,'' ujarnya yang tidak menyangka terpilih ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk menjawat jawatan ini daripada 10 pilihan yang lain beberapa tahun lalu.

Bagi aerodrome controller yang bertugas di menara kawalan, Rohaya Jemali, 47, tugasnya agak berbeza dengan pegawai di bilik radar.
"Ini kerana bertugas di menara, kita nampak kelibat pesawat dan mengetahui jarak pandangan dan keadaan persekitaran.
"Justeru itu, saya harus menentukan paras bawahan yang boleh digunakan serta membuat jangkaan masa pesawat-pesawat dibenarkan mendarat dan memulakan tindakan mencari ke atas pesawat-pesawat yang terlewat dari jangkaan.

"Misalnya, pesawat latihan yang dijadual tidak tiba atau tidak mengikut arahan. Bahkan kami juga akan menyampaikan maklumat-maklumat kajicuaca yang difikirkan perlu kepada semua pesawat di udara di dalam ruang angkasa di bawah bidang kuasa.
"Kami juga akan meneropong pesawat yang menghadapi masalah seperti masalah teknikal, tayar tidak turun, kehabisan minyak dan lain-lain. Sebaik sahaja pesawat mendarat, pihak bomba, harus dipanggil dan jika ada orang sakit di dalamnya, ambulans akan dikerah datang,'' katanya yang telah hampir 13 tahun bekerja di menara kawalan.

1 ulasan:

Misbahuddin berkata...

As salam.menarik pengalamAn akak ni beetugag bgai atco ...saya nk minta akakshare pengalaman interview Untuk fearst stage..saya xthu nk stdy apa


Provided by All Famous Quotes

Follow my post