Isnin, 23 November 2009

Asas petua internet

Oleh NURUL ANUAR KARI

KANDUNGAN BPA dalam botol susu mungkin memberi kesan kepada perkembangan dan kesihatan anak kelak.


PETUA yang juga merujuk kepada satu bentuk nasihat, petunjuk, atau panduan yang berguna untuk diamalkan individu lain telah lama menjadi kaedah tradisional mewariskan ilmu serta pengalaman dari orang tua-tua kepada generasi berikutnya.

Di zaman moden yang serba canggih kini, petua-petua lama telah banyak dilupakan. Banyak ilmu atau petua lama yang hilang berikutan keengganan generasi muda mempelajari mahupun mengamalkannya.

Namun, dalam suasana teknologi moden sedia ada, terdapat pihak yang mula menyebarkan bermacam nasihat dan petua melalui e-mel berangkai. Disebabkan kesamaran individu yang ‘menurunkan’ dan sumber maklumat berkenaan, petua yang disampaikan sering menimbulkan keraguan dan tanda tanya.

Adakah petua itu benar? Bolehkah ia diamalkan? Apa bukti ilmu yang diajar itu selamat dan berkesan?

Berasas

Menyampaikan ilmu melalui internet bukan sahaja lebih pantas dan mudah, ia juga menjimatkan kos dan mengelakkan pembaziran kertas. Namun, masalah utama penyampaian melalui internet adalah kesahihan maklumat yang diterima di samping kesukaran membetulkan penyebaran maklumat yang salah.

Untuk itu, beberapa nasihat berangkai yang disebarkan akan dirungkai kebenarannya melalui teori dan kajian semasa yang sama ada menyokong atau menyangkal dakwaan tersebut.

Petua pertama yang ingin dirungkai adalah perkembangan fizikal dan mental anak yang dikaitkan dengan keadaan ibu ketika mengandung. Dari segi petua orang tua-tua, ibu mengandung dilarang melihat orang yang menghidap penyakit tertentu (kecacatan fizikal), terlalu beremosi dan perlu mendapat apa diidamkan anak dalam kandungan.

Secara saintifiknya, tiada bukti menunjukkan apa yang dilihat ibu akan berlaku kepada anaknya (kecacatan atau penyakit). Namun, begitu banyak kajian baru menunjukkan emosi ibu memberi kesan besar kepada perkembangan emosi anak. Ini menyokong petua lama untuk menjaga emosi ibu dan juga memenuhi permintaan apa yang diidamkan (kebiasaannya makanan tertentu).

Dari segi fizikal, tahap kesihatan badan ibu sememangnya telah lama diperakui akan memberi kesan terus kepada tahap kesihatan anak kelak.

Petua yang paling kerap disampaikan, melalui mulut, internet mahupun bahan bercetak pula adalah berkaitan susu ibu. Disokong semua kajian global, susu ibu bukan sahaja lebih baik dari susu lembu atau soya, ia juga penting untuk perkembangan fizikal dan mental anak, malahan dapat merapatkan hubungan kedua-duanya. Susu ibu juga memberi perlindungan dari penyakit melalui imunisasi pasif apabila antibodi ibu dipindah kepada anak.

Walaupun semakin ramai ibu bapa kini memilih penyusuan badan, masih ramai lagi yang memilih untuk memberi susu lembu atau susu soya kepada anak. Ini mengundang bahaya bukan sahaja dari sebarang bahan tambahan (terutamanya bahan kimia) dalam susu berkenaan, malahan dari botol plastik yang digunakan.

Bisphenol A (BPA) yang digunakan untuk menghasilkan botol susu bukan sahaja ‘meniru’ fungsi hormon badan malahan meningkatkan risiko obesiti, masalah seksualiti dan masalah kesihatan, terutamanya jika anak didedahkan pada peringkat awal hidup, dan dalam jangka masa yang panjang.

Belum ada kajian yang membuktikan kaitan penuh penggunaan produk plastik, sama ada untuk bayi atau golongan dewasa, dengan penyakit-penyakit tertentu. Namun, nasihat yang disebarkan supaya mengelak atau mengurangkan penggunaan peralatan plastik untuk makan atau minum tidak boleh diabaikan sepenuhnya.

Kajian sedia ada mungkin masih gagal mengesan sebarang kaitan tetapi ramai pakar sudah membangkitkan kebarangkalian bahan di dalam pinggan, cawan dan sudu plastik yang digunakan mengancam kesihatan. Nasihat utama buat masa ini adalah untuk mengelakkan penggunaan peralatan plastik dengan makanan atau minuman panas. Ini bagi mengelakkan bahan kimia dalam plastik berkenaan (seperti BPA) menyerap masuk ke dalam makanan atau minuman tersebut.

Berisiko

Kanak-kanak merupakan golongan paling berisiko menghadapi masalah kesihatan akibat pendedahan terhadap bahan kimia dalam makanan diproses mahupun radiasi dari pelbagai alat digital yang digunakan di dalam rumah. Seperti BPA, kajian semasa belum dapat menunjukkan kaitan penuh jumlah bahan kimia dalam makanan dan juga radiasi alat digital dengan masalah kesihatan.

Namun, pakar-pakar kesihatan menasihatkan ibu bapa supaya mengurangkan jumlah pendedahan kepada anak-anak kerana walaupun jumlah bahan kimia atau radiasi rendah, tempoh pendedahan yang lebih lama berbanding individu dewasa mungkin memberi kesan buruk kepada fizikal dan mental anak kelak.

Petua ini amat wajar diikuti ibu bapa dan golongan dewasa memandangkan terlalu banyak produk makanan diproses dijual di pasaran kini. Apa sahaja makanan yang ditambah bahan kimia untuk meningkatkan rasa, warna mahupun sebagai pengawet dikira sebagai makanan diproses. Ini termasuk produk-produk siap dibungkus untuk memudahkan dimasak.

Tambahan pula, ibu bapa juga mula memberi alat digital seperti telefon bimbit, permainan video dan pemain muzik MP3 yang mendedahkan anak kepada kesan gelombang radiasi, sedikit atau banyak.

Kebelakangan ini juga, terdapat peningkatan mendadak maklumat berangkai yang membabitkan pengambilan ubat, produk kesihatan dan suplemen tertentu melalui internet. Sememangnya terdapat produk yang boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan tetapi perlu difahami bahawa tiada produk yang 100 peratus dapat mencegah penyakit (seperti didakwa sesetengah laman web dan e-mel).

Seperti juga senaman, menjaga pemakanan, gaya hidup dan mengenal faktor risiko; ubat, produk kesihatan dan suplemen cuma menjadi antara langkah untuk mengurangkan risiko menghidap penyakit tertentu. Pemeriksaan berkala sebenarnya lebih atau sama penting bagi membantu mengesan sebarang penyakit dari peringkat awal. Kebanyakan penyakit paling mudah dirawat, dikawal atau mungkin dipulihkan jika dikesan pada peringkat awal.

Kronik

Antara maklumat paling menarik disebarkan di internet kini adalah mengenai tahap pH (asid atau alkali) badan yang didakwa menentukan sel kanser hidup atau mati. Tahap pH dalaman badan, terutamanya darah, yang sedikit beralkali didakwa menghalang pertumbuhan dan juga membunuh sel kanser, membunuh kuman serta merawat penyakit tertentu.

Dilihat kembali kepada perubatan tradisional, banyak ramuan untuk merawat penyakit berasa pahit atau kelat akibat tahap pH yang beralkali. Kuman pula dilihat lebih suka hidup dalam suasana lebih berasid (seperti pada kulit manusia dengan pH sekitar 5.5). Secara umumnya ini mungkin ada kebenarannya. Namun, belum ada bukti saintifik kukuh yang dapat menyokong dakwaan ini.

Asas utama mengekalkan kesihatan adalah keseimbangan. Sesetengah sistem badan memerlukan suasana berasid, yang lain pula beralkali untuk berfungsi dengan baik. Jika keseimbangan dijaga, sistem imuniti badan dapat melindungi diri sendiri dari kebanyakan penyakit dan juga menghalang pembentuk kanser dari peringkat awal.

Antara teori utama berlakunya kanser juga menunjukkan kaitan dengan masalah sistem imuniti yang lemah sehinggakan gagal membunuh sel kanser dari peringkat awal - sehingga membentuk ketumbuhan besar, yang jauh lebih sukar untuk dikawal. Jika dapat dikawal dan dirawat dari peringkat awal, kebanyakan penyakit manusia tidak akan berkembang ke tahap yang lebih teruk.

Sebagai contoh, strok atau angin ahmar. Sebilangan pakar saraf mendakwa sebahagian besar kesan serangan strok terhadap seorang pesakit dapat dipulihkan jika mangsa dikesan dalam tiga jam pertama. Seperti kanser, strok yang dikesan awal membezakan keadaan pesakit - mampu pulih, atau lumpuh selamanya.

Antara tiga cara mudah mengesan mangsa serangan strok yang disebarkan melalui e-mel berangkai adalah kesukaran untuk senyum, bercakap dengan lancar atau sukar mengangkat kedua belah tangan. Dakwaan terbaru, lidah juga menjadi penanda serangan strok. Jika seseorang itu sukar menjelirkan lidahnya, lidah senget ke tepi ataupun bengkok, dia mungkin telah mendapat serangan strok.

Bagaimanapun, perbincangan dengan beberapa pakar neurologi tempatan menyangkal dakwaan ini kerana belum ada bukti yang mengaitkan kesan strok kepada fungsi lidah. Namun, tidak disangkal sebarang perubahan dramatik dalam fungsi mental atau fizikal badan seseorang mungkin menandakan perubahan atau kerosakan besar pada otak.

Seperti yang diwar-warkan juga, antara punca utama kerosakan kepada otak dan juga badan adalah kurang rehat serta tekanan (stres). Tidak cukup rehat, tidur serta stres boleh membawa kepada penyakit tertentu dan telah dibuktikan melalui beberapa kajian akan meningkatkan tekanan darah, tekanan emosi, diabetes akut, kerosakan fungsi organ, malah boleh membawa maut.

Makanan

Petua makan! Nasihat mengenai pemakanan mungkin antara paling penting memandangkan kita makan dan minum setiap hari. Nasihat mengenai pengambilan buah ketika perut kosong dan juga meminum air kosong selepas bangun tidur amat baik untuk diamalkan.

Buah, juga seperti sayur, kaya dengan serat dan dapat membantu membersihkan sistem penghadaman. Serat buah memudahkannya bergerak lancar melalui usus, sambil mencuci dan membuang toksin.
Namun, memakan buah selepas mengambil makanan berat tidak sesuai kerana serat buah akan bercampur dengan makanan lain dan menyukarkan pergerakannya melalui usus. Ini menyebabkan makanan mereput sebelum dapat diserap sementara serat yang ‘tersangkut’ menyebabkan perut berangin.

Tindakan banyak berjalan atau melonggarkan tali pinggang selepas makan juga tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan usus yang penuh dengan makanan ‘terjatuh’ atau beralih kedudukannya. Beri sedikit masa untuk makanan melalui perut dan usus sebelum banyak bergerak ataupun melonggarkan tali pinggang.

Rasa mengantuk selepas makan juga sebenarnya normal memandangkan darah dari seluruh badan (termasuk kepala) akan bertumpu ke abdomen untuk proses penghadaman dan penyerapan nutrien.

Cara makan juga sebenarnya memainkan peranan. Penggunaan tangan ada kelebihannya tersendiri! Petua menjilat hujung jari selepas makan (bagi yang menggunakan tangan) mungkin berkaitan dengan kehadiran enzim-enzim tertentu yang mampu mencerna bahan genetik (DNA dan RNA).

Mengikut teori penyerapan DNA secara spontan, terdapat kebarangkalian kecil DNA asing menyerang ke dalam sel badan manusia. Pencernaan bahan genetik (dari sel haiwan dan tumbuhan) mungkin dapat menghalang penyerapan unsur genetik asing ke dalam sel badan semasa penghadaman - yang mungkin boleh membawa kepada pembentukan kanser dan kerosakan sel.

Dari segi jumlah makanan juga, kita tidak sepatutnya mengambil terlalu banyak makanan atau nutrien tertentu. Makanan atau nutrien yang baik untuk badan juga boleh menyebabkan keracunan jika diambil terlalu banyak.
Ini terbukti dengan kajian keracunan yang dicatatkan hasil pengambilan terlalu banyak vitamin A dan C. Terlalu banyak serat pula boleh membawa kepada masalah ‘angin’, sementara meminum terlalu banyak air kosong pula mampu menjejaskan keseimbangan osmosis dan fungsi sistem dalaman badan.
Akhir sekali, apa yang dimakan sepatutnya tidak ‘diperam’ terlalu lama. Petua supaya tidak menahan kencing mahupun membuang air besar penting untuk membuang toksin dari dalam badan. Menahan kencing bukan sahaja meningkatkan penyerapan toksin dari air kencing, malahan meningkatkan risiko pembentukan batu
karang di dalam buah pinggang dan pundi kencing.

Kita juga disarankan membuang air besar sekurang-kurangnya dua kali setiap hari, pagi dan malam. Jika ditahan terlalu lama, usus besar yang berfungsi menyerap kembali air dari dalam najis akan menyerap bersama toksin yang larut di dalam air. Pengumpulan toksin bukan sahaja menjejaskan tisu usus, malahan mungkin dikembalikan ke dalam aliran darah, ke seluruh badan.

Melihatkan begitu banyak nasihat yang dikongsi melalui internet, kita perlu memastikan yang mana benar, yang mana palsu dan yang mana cuma jenaka semata-mata. Lebih-lebih lagi jika panduan samar yang melibatkan pemakanan harian dan juga kesihatan anak-anak kecil.

Tiada ulasan:

Our Blues drama review -malay version

  Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...