Khamis, 6 Ogos 2009

Orang Melayu dan perbandingan cucur kodok

SEJAK dua tiga tahun kebelakangan, saya agak kerap berkunjung ke Indonesia atas urusan kerja dan peribadi.Ketika membaca tajuk utama Utusan Malaysia kelmarin tentang kemungkinan demonstrasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sabtu lalu menggunakan “peserta upahan”, saya teringat pengalaman di Indonesia.

Ramai teman di sana mengakui ada segelintir penduduk yang bekerja sebagai “demonstran” – istilah yang digunakan untuk peserta demonstrasi sepenuh masa.

Mereka tiada kerja tetap dan gemar berhimpun di tempat tumpuan awam. Apabila ada individu atau badan-badan tertentu mahu memprotes sesuatu, para “demonstran” itu akan diupah menyertainya.

Lilit kepala, poster dan sepanduk akan disediakan oleh penganjur dan mereka hanya perlu berarak ke sana ke mari sambil melaung-laungkan pelbagai slogan ciptaan penganjur berkenaan.

Satu hari ketika berada tidak jauh dari Tugu Monas, seorang teman membisikkan ada tanda-tanda demonstrasi akan berlaku. Ternyata, tidak lama kemudian, demonstrasi benar-benar berlaku. Tiba-tiba muncul segerombolan manusia berarak lengkap dengan lilitan kepala, poster dan sepanduk.

Antara tanda-tanda demonstrasi akan berlaku ialah apabila kelihatan ada beberapa orang mundar-mandir mengedarkan ‘sedekah’ sambil turut menyerahkan poster dan kain lilit kepala. Ternyata mereka memang ‘profesional’. Asal dapat makan, itu sudah cukup buat mereka.

Itukah agaknya yang terjadi di Kuala Lumpur, Sabtu lalu? Jika benar pengakuan bahawa mereka menerima upah untuk berarak, maka pada fikiran saya amat sesuai komen spontan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara lain beliau mencadangkan supaya disediakan tempat khas untuk golongan itu berdemonstrasi! Kata Najib: “Bertempiklah sampai subuh tapi jangan kacau jalan dan lalu lintas orang ramai”.

Inilah yang dikatakan “alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan”. Jika benar itulah nilai dan budaya baru yang digemari oleh segelintir rakyat yang diwarisi daripada pemimpin-pemimpin tertentu, maka wajarlah sebagai kerajaan yang prihatin dan mengutamakan rakyat, berfikir untuk ‘memprofesionalkan tradisi demonstrasi’.

Buatlah seperti di Indonesia itu. Mereka tidak menyusahkan orang ramai malah peniaga mengaut keuntungan kerana ramai yang datang menyaksikan demonstrasi itu.

Sebagai orang Melayu memanglah kita berasa sedih dengan apa yang berlaku. Namun begitu, hakikat yang perlu diterima ialah sebahagian orang Melayu mahu mengubah “kemelayuan” mereka dengan menunjukkan nilai-nilai garang dan berani melawan.

Saya teringat juga kata-kata beberapa teman di Indonesia: “Orang Melayu di Malaysia itu, ibarat cucur udang tetapi enggak ada udangnya!”

Maksud mereka, orang Melayu Malaysia hanyalah pengikut setia pemerintah dan tidak berani memprotes sebarang isu yang timbul dari semasa ke semasa.

Setelah beberapa kali kenyataan yang sama saya dengar, akhirnya saya terfikir untuk menjawab begini: “Bapak, kalau cucur kodok, kodoknya mahu diletak di mana?” Akhirnya mereka diam.

Satu-satunya yang saya fikir positif tentang kehadiran beribu-ribu orang Melayu berbanding dua tiga kerat kaum lain dalam demonstrasi itu ialah mereka memang ingin menunjukkan bahawa mereka benar-benar “cucur kodok yang ada kodoknya”.

Jadi berhati-hatilah, jika ada orang lain terutama pesaing-pesaing rasis yang berhajat untuk ‘memamah’ cucur kodok itu, mereka harus bersedia memamah kodoknya sekali.

Episod demonstrasi jalanan sudah selesai. Sekurang-kurangnya untuk kali ini. Episod susulan ialah perarakan ke mahkamah. Sudah tiga hari berlalu dan baru kini kita lihat kaum-kaum lain mendominasi perarakanperarakan itu.

Mereka nampaknya memilih perarakan yang selamat, nyaman, bersih, tidak berpanas, tidak basah disembur air dan tidak pedih mata ditembak gas. Mereka memilih perarakan yang boleh mendatang keuntungan wang ringgit kerana yuran guaman dan sebagainya. Wahai Melayu, fikir-fikirkanlah!


Universiti Putra Malaysia">

Utusan

Tiada ulasan:

Our Blues drama review -malay version

  Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...