Rabu, 5 Ogos 2009

Pengajaran DEB untuk Ekuinas

Oleh ANUAR AHMAD
anuar.ahmad69@yahoo.com

TEKA-TEKI mengenai peneraju Ekuiti Nasional (Ekuinas) terjawab sudah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Ekuinas bulan lalu menjanjikan satu kumpulan pakar ekonomi untuk menjayakan projek ini.

Jelas sekali, kumpulan yang diketuai oleh Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda itu merupakan kalangan yang terbukti kecemerlangan dalam bidang pengurusan ekonomi.

Pelan ini akan dimulakan dengan peruntukan RM500 juta dan bertambah sehingga RM10 bilion berasaskan keperluan dan pencapaian masa depan.

Sejak dilancarkan pelbagai pihak memberikan respons dan rata-rata memberikan sokongan terhadap Ekuinas, masyarakat Melayu dan lebih-lebih lagi bukan Melayu.

Kerajaan memberikan penjelasan berkaitan pemansuhan 30 peratus ekuiti bumiputera dengan penubuhan Ekuinas Nasional Berhad (Ekuinas). Begitu juga dengan peningkatan had kepentingan asing dalam syarikat pembrokeran daripada 49 peratus kepada 70 peratus.

Nampaknya seluruh rakyat berbilang etnik telah memberikan isyarat bahawa model ini adalah sesuatu yang baik dan perlu dilaksanakan. Nampaknya kini perbincangan lebih cenderung untuk meneliti dua perkara lain.

Pertama, berkaitan "niche" atau tujahan Ekuinas. Ramai pakar ekonomi bimbang pelan ini akan menjadi "pelanduk dua serupa" kepada PNB yang berjaya melaksanakan pengurusan saham amanah. PNB bukan sahaja berjaya menguruskan dana untuk kelangsungan ekuiti bumiputera tetapi turut mendapat kepercayaan bukan Melayu.

Kalau tidak masakan saham amanah bernilai berbilion ringgit kepada bukan bumiputera habis dalam tempoh yang singkat.

Perkara kedua yang diperbincangkan tentang Ekuinas ialah apakah pelan ini juga akan menerima nasib yang sama dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Memanglah DEB dan Ekuinas tidak sama. Berbeza model dan strategi. Berbeza zaman serta cabarannya. Tetapi kedua-duanya masih sama dalam dua perkara.

Pertama, diwujudkan untuk membantu perekonomian bumiputera. Kedua, diuruskan sepenuhnya oleh orang Melayu - sebagai pentadbir, penentu dasar serta pemantau pelaksanaannya.

Maka itu sejarah serta pengajaran daripada DEB sangat penting dihayati agar kejayaan DEB dahulu diperkasakan dan kesilapan DEB pula dijadikan sempadan oleh Ekuinas. Sejak dilancarkan pada 1970, DEB berjaya membina perekonomian bumiputera untuk bersaing bersama kaum lain.

Semua rakyat tahu ekonomi Malaysia kini dikuasai lebih 75 peratus masyarakat Cina. Sementara kurang 10 peratus dimiliki oleh nominee antarabangsa. Orang Melayu sejak 1990 telah 'beku' pemilikan kekayaan negara pada tahap 19 peratus sahaja. Seolah-olah bumiputera-Melayu tidak mampu lagi meningkatkan kekayaan lebih daripada itu dalam program DEB.

Penelitian terhadap penulisan ilmiah oleh pakar ekonomi dan juga pakar sains sosial menjelaskan kepada kita beberapa perkara yang menggagalkan DEB.

Walaupun pemimpin politik utama negara ketika itu adalah orang Melayu, pegawai kerajaan di peringkat tertinggi (majoriti juga orang Melayu), pelbagai pelan, subsidi dan bantuan disediakan untuk bumiputera, malangnya ekonomi Melayu hanya berjaya mencapai setakat 19 peratus jauh daripada sasaran 30 peratus.

Lebih menarik ialah begitu sukarnya orang Melayu mencapai angka 30 peratus walaupun Perlembagaan negara memberikan peruntukan khas kepada keistimewaan orang Melayu.

Perkara 153 Perlembagaan, memberikan ruang kepada orang Melayu daripada segi perundangan untuk menjadi bangsa yang maju, setanding bukan Melayu.

Malangnya semua bantuan serta sokongan ini tetap gagal menjadikan perekonomian orang Melayu sebagai tunjang kepada perekonomian negara. Mengapa hal ini berlaku? Apakah yang sama boleh berlaku kepada Pelan Ekuinas?

Berikut disenaraikan secara ringkas kesilapan strategi perekonomian orang Melayu dalam DEB.

- Amalan pertanian secara tradisional jelas bukan asas menjadikan Melayu sebagai bangsa yang kuat ekonominya. Sejak ratusan tahun majoriti orang Melayu menguasai sektor pertanian.

Malangnya, sifat kegiatan ekonomi pertanian sara diri secara separa-moden terbukti gagal untuk membina harapan perekonomian orang Melayu.

Sekalipun petani Melayu ingin mengusahakan pertanian secara teknologi moden, mereka masih perlu bergantung sepenuhnya dengan kos racun rumpai, jentera pertanian dan baja yang dibeli melalui orang tengah bukan Melayu.

Maka sukar untuk majoriti petani Melayu menjadi kaya dengan sektor pertanian. Walaupun ada usaha menjadikan perindustrian sebagai kegiatan ekonomi Melayu, kejayaannya tidak seperti diharapkan.

- Era Tun Dr. Mahathir Mohamad menyaksikan usaha beliau mengembangkan teknokrat Melayu melalui industri berat negara. Malangnya industri hiliran yang sepatutnya direbut peluang oleh Melayu, dikuasai sepenuhnya oleh peniaga bukan Melayu.

Industri besi keluli, industri jentera dan automotif, teknologi bendalir dan hiliran industri minyak semuanya dikuasai sepenuhnya oleh bukan Melayu.

Orang Melayu kekal sebagai petani, pekerja kilang serta pekerja di dalam sektor yang dimiliki oleh bukan Melayu.

- Orang Melayu tidak menguasai ilmu ekonomi sepenuhnya. Mereka bukan sahaja tidak dibudayakan dengan dunia perniagaan sejak kecil, malah sangat takut menghadapi kerugian dan kesukaran hidup.

Di universiti, bidang perakaunan, perbankan, pengurusan perniagaan didominasi oleh pelajar bukan Melayu. Orang Melayu berduyun-duyun ke fakulti sastera dan ilmu sosial.

Usaha mengembangkan budaya keusahawanan di universiti sangat sukar kerana ciri-ciri negatif ini menebal. Selain itu, ilmu ekonomi juga berkaitan dengan penguasaan bahasa Inggeris. Halangan ini menambahkan lagi jurang antara Melayu dan bukan Melayu.

Cara segelintir pemimpin Melayu menafsirkan tuntutan agama secara semberono juga menyumbang kepada sifat negatif orang Melayu tentang perniagaan. Perniagaan yang maju bermaksud menjadi semakin kaya. Menjayakan perniagaan juga bermaksud peruntukan masa bekerja yang lebih banyak, jauh lebih banyak daripada semua jenis pekerjaan lain di dunia.

Sebahagian besar orang Melayu lebih sanggup hidup susah dan berdikit-dikit tetapi tidak berani menghadapi kesukaran, kerugian, persaingan dan sebagainya.

Malah seringkali sirah dan ajaran Islam dijadikan sebagai alasan sesetengah orang Melayu untuk tidak bekerja keras. "Dunia hanya sementara, kita mencari akhirat". "Kekayaan akan menyebabkan orang lupa Tuhan" atau "Nabi sengaja mencari kehidupan yang tidak mewah untuk mendapat keredaan Allah".

- Sikap tidak sabar orang Melayu juga membantutkan perkembangan ekonomi bangsa sendiri. Dr. Mahathir mungkin tokoh yang sangat kecewa dengan sikap ini.

Orang Melayu sering dikatakan suka mengambil jalan mudah. Isu seperti "Ali Baba" dan ungkapan "Biar papa asal bergaya" antara contoh sikap tidak sabar bangsa Melayu untuk kaya.

Selain itu, isu ketirisan peruntukan kerajaan serta rasuah menjadikan Melayu semakin tidak berdaya saing.

- Jaringan perniagaan orang Melayu juga sangat lemah. Perkara ini pernah disebut berkali-kali oleh Profesor Diraja Ungku Aziz sejak 1980-an lagi. Malangnya sehingga kini, rantaian perniagaan masih kuat dimonopoli oleh bukan Melayu. Dua perniagaan sahaja dikatakan menjadi kekuatan Melayu iaitu kedai makanan halal dan sektor berkaitan pendidikan agama Islam.

Ringkasnya, kejayaan Ekuinas sangat bergantung kepada sikap orang Melayu agar tidak mengulangi kesilapan semasa DEB. Jika pengajaran daripada DEB difahami dan menjadi panduan, tidak syak lagi Ekuinas akan berjaya memajukan bukan sahaja bangsa Melayu dan bumiputera malah akan meningkatkan kekayaan bukan Melayu.

PENULIS ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada ulasan:

Our Blues drama review -malay version

  Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...