Selasa, 15 September 2009

Pengertian Hari Raya Usia Ini


Hari Raya pada zaman kanak-kanak  adalah yang paling meriah pada zahir mata kasar kita. Berpuasa, main bunga api, tolong mak memasak, cabut bulu ayam untuk juadah hari raya. Ayam tu ayam kampung yang di pelihara sendiri. Masak rendang, ketupat dan siapkan langsir, baju raya serta segalanya. Tiba hari raya boleh pakai cantik-cantik di pagi raya dan makan besar bersama keluarga. Pergi solat sunat hari raya dan selepas itu beraya ke rumah jiran dan rakan-rakan. Meriahkan masa tu....

Hari silih berganti, semua itu semakin jauh kita tinggalkan. Ia hanya menjadi ingatan kerana semenjak kedewasaan menjelang kini, hari raya disambut meriah dari perspektif yang berbeza mengikut kemahuan dan kehendak kita sendiri. Kita boleh mengekalkan tradisi yang telah diamalkan dulu, namun banyak perkara yang membataskan kita dan sikap kita. Malah ada sesetengah orang menyifatkan hari raya, langsung tidak memberi banyak perbezaan kecuali rancangan yang menarik di televisyen dan makanan. Sebenarnya, hari raya pada usia ini meliputi skop yang lebih besar, yang hanya sesetengah orang sahaja yang dapat menhayatinya.

Mengapa saya katakan begitu?

Hari raya aidilfitri, adalah hari untuk meraikan kemenangan umat islam setelah sebulan berpuasa. Di samping itu kita menyucikan diri kita dari dosa dengan ibadah puasa dan kebesaran bulan ramadhan. Zakat fitrah dan sedekah juga adalah proses penyucian jiwa dari dosa. Memang jelaslah bahawa hari itu adalah untuk manusia kembali kepada fitrah kita. Dengan kesucian jiwa, maka barulah kita dapat mengecapi kemeriahan hari raya.

Maka dengan itulah kita dianjurkan untuk menghabiskan Ramadhan dengan segala ibadah sebanyak mungkin. Kemudian menjelang hari raya, amalan yang sinonim adalah bermaaf-maafan sesama manusia. Selain dari itu jenguklah rakan-rakan yang didalam kesusahan, rumah anak-anak yatim, dan ibu-ibu tunggal. Dengan ini, bukan sahaja hari raya ini meriah untuk kita. malah ia menjadi meriah kepada semua orang disekeliling kita.

Inilah fitrah Hari Raya yang sebenar dalam usia dewasa ini. Tiada lain yang lebih indah selain melihat kebahagian orang lain. Keceriaan anak-anak dengan baju raya dan bermain bunga api dengan rakan-rakan.

Oleh itu, sambutlah Aidilfitri ini seadanya dengan kemeriahan di hati. Berdoa agar di panjangkan umur dalam kesihatan, semoga kita dapat berjumpa lagi pada Ramadhan tahun hadapan. Semoga Aidilfitri yang bakal menjelma dapat kita nikmati bersama.


Sempena Hari Raya yang bakal menjelma ini, saya memohon ampun dan maaf seandainya sepanjang perkenalan kita ini, ada yang tersilap dan ketelanjuran. Semoga ikatan persaudaraan ini akan kekal hingga ke akhir hayat.  
"Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin"

IKHLAS dari saya,

Syamilah Mohd Shah
012-2936597

Tiada ulasan:


Provided by All Famous Quotes

Follow my post