Selasa, 2 Jun 2009

Remaja Yang Jitu

Remaja adalah satu aset negara yang amat berharga. Tanpa remaja yang jitu, negara akan menghadapi masalah untuk mencari pelapis yang bakal meneraju negara untuk kelansungan generasi akan datang. Oleh hal yang demikian tidak hairanlah sekiranya kita mengambil isu remaja sebagai suatu yang kritikal untuk masa kini memandangkan cabaran yang kita hadapi tidak sama dengan cabaran yang dihadapi semasa zaman dahulu. Namun persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan remaja yang jitu?

Pada pendapat saya, remaja yang jitu adalah remaja yang mempunyai pendirian yang tetap. Emosi dan rohani yang kuat merupakan asas kepada pendirian seseorang remaja itu. Jika tidak bagaimana seseorang remaja boleh bertahan dalam dunia globalisasi yang mana maklumat hanya berada di hujung jari kita sahaja. Kekuatan emosi datangnya dari rohani yang stabil. Kestabilan ini mendorong remaja membuat segala keputusan berdasarkan penakkulan akal dan bukan setakat hati. Bagi melahirkan rohani yang kuat, seseorang remaja perlu diajar dengan ilmu agama dan moral sejak dari kecil lagi. Sebagai contoh yang paling mudah, kanak-kanak sekolah di ajarkan dengan ilmu agama islam. Di sinilah bermulanya untuk membina kekuatan rohani dan emosi seseorang remaja itu.

Remaja yang jitu perlu mempunyai cita-cita dan bersungguh-sungguh mencapai cita-cita itu. Sejak dari kecil lagi kita telah dipupuk supaya mempunyai cita-cita pada masa dewasa kelak. Cita-cita merupakan matlamat kasar dan fokus yang perlu ada bagi seseorang untuk berjaya. Cita-cita ini membawa remaja ke arah yang perlu dilakukan untuk mencapai cita-cita yang mereka impikan. Pendedahan awal penting terhadap karier dan alam pekerjaan bagi menyatakan lagi fokus yang mereka impikan itu. Remaja juga boleh menetapkan apa yang perlu atau tidak perlu dalam mencapai cita-cita mereka. Contohnya, jika remaja itu ingin menjadi seorang peguam, sudah tentunya mereka tidak perlu mengambil subjek sains tulen kerana untuk menjadi seorang peguam, remaja perlu fokus kepada sastera dan sejarah. Setelah mempunyai cita-cita, remaja itu mesti bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita tersebut. Jika hanya sekadar melepaskan batok di tangga, sudah tentulah hasilnya juga tidak memuaskan hati atau gagal mencapai cita-cita yang diidamkan.

Setelah berjaya mendapat kerja dan kejayaan dalam akademik, proses kejayaan tidak akan terhenti di situ. Remaja juga perlu mempunyai matlamat dalam kehidupan seperti berjaya dalam karier ke peringkat lebih tinggi atau mempunyai keluarga yang bahagia. Ini merupakan sebahagian matlamat dalam hidup ini. Matlamat untuk memiliki harta juga merupakan sesuatu yang baik. Selain dari itu, matlamat merupakan satu fokus dalam hidup yang memandu kita ke arah kebahagian dan ketenangan dalam hidup. Tanpa matlamat, hidup akan terumbang-ambing dan sudah tentu kita akan mudah terpengaruh dengan anasir jahat yang sentiasa ingin menjatuhkan kita. Akhirnya, walaupun kita sudah berjaya mencapai cita-cita tetapi kerana kita tiada matlamat hidup, maka kita terjerumus ke lembah yang lebih hina.

Remaja jitu juga perlu mempunyai tatasusila dan budi bahasa yang tinggi. Ini merupakan amalan turun-temurun bangsa yang melengkapkan lagi identiti seorang remaja itu. Budi bahasa ini diperolehi dari pembelajaran tidak langsung dari ibu bapa dan orang-orang yang lebih dewasa. Tatasusila menggambarkan keharmonian dan keindahan budaya sesuatu bangsa. Ini adalah sebahagian dari identiti yang membolehkan dunia melihat kita dari sudut yang positif.

Remaja juga mesti menyertai masyarakat dan tidak hanya tertumpu dalam kelompoknya sahaja. Penyertaan dalam masyarakat penting untuk mengembangkan minda dan pemikiran remaja melihat dunia dari perspektif yang luas. Pergaulan dengan masyarakat menambah lagi kreativiti dan inovasi. Selain pergaulan dengan masyarakat remaja juga digalakkan berhijrah ke tempat baru untuk belajar atau bekerja. Selain itu, percampuran dengan masyarakat menambah pengalaman hidup dan ilmu kehidupan. Dalam itu, kita juga perlu bijak untuk mentafsir maklumat yang beik dan maklumat yang negatif dan boleh diabaikan.

Kesimpulannya, remaja yang jitu dalam zaman ini perlu lebih cekal menghadapi cabaran hidup zaman ini. Remaja perlu sedar bahawa setiap langkah yang diambil dalam hidup ini merupakan langkah yang menentukan masa depan individu dan negara mereka. Remaja mesti mengambil tanggungjawab ini kerana selagi kita hidup, kita tidak akan lepas dari tanggungjawab hidup. Semoga remaja zaman ini lebih jitu dan berjaya bagi memangkin masa depan yang gemilang.

Tiada ulasan:

Our Blues drama review -malay version

  Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...