Selasa, 23 Jun 2009

Yang Anda Perlu Tahu Menjelang Kemerdekaan Tanah Melayu



Wasiat Raja Raja Melayu yang telah dimaktubkan pada 31 Ogos 1957. Wasiat tersebut mempunyai tujuh (7) perkara seperti berikut:-

1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA)

2. Kami istiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu istihar dan simpan, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50% selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

3. Bagi menjaga kamu dan melindungi anak-anak kamu harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU untuk membenteras kekacauan dalam Negara dan ancaman dari luar Negara.

4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah Negara ini.

5. Kami tetapkan ISLAM ialah agama Persekutuan.

6. Kami tetapkan juga bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU dan,

7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).


APA ITU KONTRAK SOSIAL?

Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik Eropah seperti Thomas Hobbes dan John Locke ialah bahawa manusia mewujudkan negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya.[2] Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat.[3]

Menurut bahasa, kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih.[4] Ia juga boleh bermaksud dokumen yg mengandungi syarat-syarat perjanjian atau cabang undang-undang yg berkaitan dgn kontrak.[5] Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai segala yg berkaitan dgn masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan.[6] Oleh itu, kontrak sosial apabila diasimilasikan boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang (perlembagaan) yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah negara. Oleh itu, perbincangan kontrak sosial bagi penulisan ini akan ditumpukan kepada skop perlaksanaannya di Malaysia.

Secara mudah, kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara kita dan seterusnya menentukan sifat negara.

Kontrak sosial sebenarnya merupakan watikah asas keadilan sosial untuk negara. Keadilan sosial yang terkandung dalam perjanjian ini merangkumi bukan sahaja soal keadilan ekonomi tetapi juga keadilan politik dan keadilan kebudayaan. Oleh itu, kontrak sosial yang dipersetujui perlu dijadikan rujukan asas segala usaha untuk menegakkan keadilan sosial di negara ini.[7] Pengajaran utama yang harus dipelajari oleh kaum bukan Melayu ialah peristiwa rusuhan 13 Mei 1960 kerana mencabar kedudukan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

ELEMEN-ELEMEN KONTRAK SOSIAL MENURUT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN


Perlembagaan Persekutuan adalah hasil daripada persetujuan yang tercapai antara penduduk di Malaysia daripada kalangan kaum Melayu, Cina dan India. Perlembagaan Malaysia bukan sahaja dokumen perundangan akan tetapi ia adalah kontrak sosial dan perjanjian perdamaian.[8] Perlembagaan Malaysia merupakan suatu bentuk tolak ansur yang ulung dengan setiap kumpulan memberi sesuatu dan kembali mendapat sesuatu (yang lain).[9]

Ini seperti yang ditegaskan oleh Tunku Abdul Rahman:

“Orang Melayu sedia memberikan hak-hak munasabah dan patut kepada orang-orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang begitu banyak kepada bangsa-bangsa bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang berbudi sebegitu tinggi seperti yang diperbua oleh orang Melayu. Sesungguhnya ada jaminan hak-hak istimewa Melayu dalam perjanjian persekutuan tetapi ia tidak sekali-kali mencegah dan menyekat bangsa-bangsa yang bukan Melayu daripada mencapai kesenangan dan kejayaan, dan lagi sehingga sekarang hak-hak istimewa Melayu itu masih belum lagi menghasilkan keadaan yang setaraf di antara orang Melayu dengan bukan Melayu.” [10]

Beberapa peruntukan yang digubal dalam perlembagaan mengekalkan beberapa elemen penting yang menjadi tradisi sejak zaman sebelum penjajahan British lagi. Para penggubal mengangap elemen-elemen tersebut penting memandangkan peranan yang dimainkan dalam menjaga kestabilan negara terutamanya dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum.[11] Peruntukan itu adalah hasil proses tawar menawar pada asasnya merupakan semangat perjanjian di sebalik pembentukan perlembagaan tahun 1957. Seperti yang diterangkan oleh Mohamed Suffian:[12]

“Sebagai balasan kerana mengendurkan syarat kerana memberi kewarganegaraan kepada orang-orang Melayu, hak-hak dan keistimewaan orang Melayu sebagai peribumi negara ini hendaklah ditulis di dalam perlembagaan dan terdapat juga peruntukan lain yang juga dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bukan Melayu”

Inilah asas yang menjadi perjanjian sosial di antara masyarakat majmuk di Malaysia dengan memberi pengorbanan dalam sebahagian hak mereka dan menghormati hak sebahagian komuniti yang lain demi untuk keseimbangan dalam masyarakat bernegara. Sebahagian besar ciri-ciri utama yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan adalah unsur kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua pihak.

Di mana-mana negara sekalipun, perlembagaan lahir hasil daripada perkembangan sejarah. Perlembagaan juga merakamkan sifat-sifat asal negara itu merangkumi nilai tradisi, politik dan kebudayaan.[13] Elemen-elemen ini yang menjadikan bangsa Melayu selaku bangsa asal yang mendiami Tanah Melayu memasukkannya ke dalam Perlembagaan bagi mengekalkan keistimewaan mereka. Di antaranya ialah:

1. KEDUDUKAN RAJA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Beberapa abad lamanya orang Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja. Mereka diperintah oleh sultan dan kepadanya diberikan sepenuh taat setia. Kesultanan Melayu merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu. Ianya mengekalkan simbol penting bagi survival orang-orang Melayu. Semasa pemerintahan British pun raja-raja masih dianggap sebagai raja yang berdaulat[14] dan masih lagi mempunyai kuasa bagi hal-hal tertentu bagi negeri masing-masing meskipun mereka dipaksa menerima beberapa triti dengan British untuk menerima penasihat British.

Apabila akhirnya kemerdekaan diberikan kepeda Semenanjung Tanah Melayu, institusi beraja diteruskan tetapi dengan beberapa pindaan supaya dapat disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan kemerdekaan.[15] Raja-raja Melayu menggambarkan ciri-ciri asal negara Malaysia. Ia melambangkan kesinambungan sejarah dan menjadi sebahagian daripada identiti negara. Sebagai sebuah negara Malaysia perlu mempunyai satu identiti yang berbeza dan unik. Inilah yang mendasari bentuk dan menyediakan isi kepada upacara rasmi negara. Kewujudan sistem beraja dengan sendirinya menekankan ciri-ciri kemelayuan.[16]

Hasil penerimaan sistem raja berperlembagaan, Yang Dipertuan Agong diberi kuasa memerintah Persekutuan tetapi sebagai raja berperlembagaan baginda dikehendaki mengikut nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri.[17] Baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan[18] dan merupakan salah satu unsur utama daripada tiga unsur utama badan perundangan persekutuan iaitu parlimen.[19]

Disamping itu, Perkara 71 Perlembagaan Persekutun membuat peruntukan bagi menjamin hak seseorang raja untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistimewaan di sisi Perlembagaan bagi seseorang raja dalam negeri itu. Institusi kesultanan dilindungi oleh Perlembagaan dengan cara bahawa tiada pindaan[20] boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Malah tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.[21]

Raja-raja Melayu bagi negeri-negeri Melayu hendaklah orang Melayu dan oleh kerana itu ianya orang Islam. Yang Di pertuan Agong (yang dipilih daripada kalangan Raja-Raja Melayu) yang mempunyai kuasa pemerintah bagi persekutuan juga adalah seorang Melayu dan Muslim. Perbincangan tentang pemerintahan berja tidak akan lengkap tanpa menyebutkan kedaulatan dan kekebalan (imunity) raja. Perlembagaan memperuntukan bahawa Yang Dipertuan Agong tidak boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah.[22]

Negara ini masih bernasib baik dengan mewarisi sistem raja-raja yang melambangkan kuasa Islam. Pada masa ini Perkara 3(2) merujuk kepada tiap-tiap negeri dalam persekutuan, Raja atau Sultan adalah ketua agama Islam kecuali Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
2. HAK KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU

Perlembagaan Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153 bertujuan memelihara orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Peruntukan-peruntukan berkaitan juga terdapat di bawah Perkara 161(A) dan dalam beberapa perlembagaan negeri.[23]

Di sisi undang-undang perlembagaan, erti ”Melayu” ialah seseorang yang memenuhi tiga syarat asas; (i) menganuti agama Islam, (ii) secara lazim bercakap Melayu, dan (iii) menurut adat istiadat Melayu (Perkara 160). Dengan hanya mempunyai sifat-sifat (i) hingga (iii) belum sempurna lagi ke Melayuan seseorang itu di sisi Perlembagaan. Seseorang yang mendakwa dirinya Melayu hendaklah membuktikan juga bahawa dia lahir sama ada di Persekutuan atau di Singapura sebelum hari Merdeka atau dapat membuktikan bahawa dia adalah anak kepada ibu atau bapanya yang lahir di Persekutuan atau di Singapura sebelum Merdeka.

Setelah mengimbas kembali siapa itu Melayu, perlu kini kita amati Perkara 153 yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu yang bumiputera yang termaktub di bawah klausa (2) Perkara 153. Perkara 153 menggariskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau lain-lain kemudahan yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan. Peruntukan Perkara 153 adalah seperti berikut;

Perkara 153 (I): Perezaban quota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu.

(1) Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

(2) Walau apapun yang terkandung dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan tugas-tugasnya di bawah Perlembagaan ini dan di bawah undang-undang Persekutuan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang perlu untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan juga untuk menentukan perezapan bagi orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam (lain daripada perkhidmatan awam sesuatu negeri) dan mengenai biasiswa, bantuan dan lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan yang seumpamanya atau lain-lain kemudahan khas yang diberi atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai permit atau lesen bagi menjalankan apa-apa trade atau perniagaan, dan perezapan permit dan lesen itu adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini.

Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 yang memberi kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang yang sedia ada yang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu.[24] Selain itu, kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f) juga dianggap sebagai sebahagian daripada kedudukan istimewa orang Melayu.[25]

Walaupun dari satu sudut peruntukan khas ini seolah-olah bercanggah dengan kesamarataan layanan perlembagaan ke atas semua warganegara persekutuan, namun ia satu pertimbangan untuk menyamakan taraf kaum bumiputera dengan kaum-kaum yang lain khususnya Cina di tanah air bagi menjamin mewujudkan keseimbangan, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan agihan kekayaan khususnya kepada kaum yang masih lemah dan ketinggalan menjelang kemerdekaan.[26]

Kedudukan istimewa orang Melayu ini tidak mutlak.[27] Ia diseimbangkan dengan kepentingan sah kaum lain yang secara amnya termasuklah hak mendapat kewarganegaraan Malaysia menurut peruntukan kewarganegaraan dalam perlembagaan, hak menganut dan mengamalkan agama masing-masing, hak untuk menggunakan bahasa ibunda dan yang paling penting hak untuk mendapat layanan yang sama rata. Seperti juga kedudukan istimewa orang Melayu, hak-hak ini juga dibatasi oleh beberapa peruntukan dalam Perlembagaan.[28]

3. KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI

Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu isu yang penting kerana ianya berkait rapat dengan kepercayaan dan iktikad majoroti penduduk (orang Melayu) di Malaysia.

Dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan:

“Agama Islam ialah bagi seluruh persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”[29]

Menurut Tun Salleh Abbas, Melayu dan Islam adalah dua unsur yang bercantum dan tidak boleh dipisahkan untuk tujuan undang-undang dan perlembagaan.[30] Maka adalah menjadi tanggungjawab Yang Dipertuan Agong untuk melindungi orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana Islam dan Melayu merupakan dua entiti yang tidak boleh dipisahkan, maka tugas menjaga orang Melayu termasuk juga melindungi dan menjaga agama Islam.[31]

Orang Melayu sebagaimana yang telah dijelaskan oleh penulis sebelum ini ditakrifkan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu sebagai seorang yang menganut agama Islam, yang lazim bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Maka dengan ini, peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa “Islam adalah agama bagi persekutuan” membayangkan apa yang telah dipertahankan oleh orang Melayu sepanjang masa, malah sebelum kuasa British masuk ke Malaysia lagi. Semasa penjajahan British, mereka membawa masuk agama Kristian sementara kaum pendatang membawa masuk agama lain seperti Hindu dan Buddha. Oleh yang demikian, menjadikan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan mestilah juga memberikan pertimbangan kepada kepercayaan kaum lain.

Oleh itu, Perkara 3 memperuntukan satu fasal imbangan yang menyebut “tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan“. Malah setiap kumpulan agama juga mempunyai hak untuk:

a) Menguruskan hal ehwal agamanya sendiri

b) Menubuh dan menyelenggara institusi-institusi bagi maksud-maksud agama atau khairat, dan

c) Memperoleh dan memiliki harta benda serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang

Berikutan dengan Islam diterima sebagai agama bagi persekutuan, maka kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai kebebasan, kuasa dan keistimewaan untuk menubuhkan atau menyelenggara atau membantu penubuhan atau penyelenggaraan institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan untuk mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk tujuan itu.[32] Oleh itu, kerajaan persekutuan dan negeri melalui akta dan enakmen perbekalan tahunan, diberi kuasa untuk membelanjakan wang untuk pentadbiran agama Islam dan undang-undangnya. Peruntukan seumpama itu jelas disahkan oleh Perkara 12(2).

4. BAHASA MELAYU

Bahasa sentiasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang masing-masing dengan bahasa pertuturannya.

Isu bahasa merupakan salah satu perkara yang dibincangkan semasa perundingan perlembagaan dan proses pembentukannya. Namun isu ini dapat diselesaikan dengan permuafakatan antara kaum. Tan Siew Sin telah menerangkan bagaimana isu bahasa telah dapat diselesaikan:

“Masyarakat bukan Melayu menaruh harapan besar kebudayaan dan bahasa mereka. Biar saya nyatakan sebagai contoh, perlembaagaan Reid sebagaimana rangka awalnya tidak menyebut apa-apa tentang mengekal dan menegmbangkan bahasa Cina dan Tamil atau bahasa-bahasa lain.Apabila dicadangkan kepada pemimpin Melayu bahawa perlembagaan sepatutnya dengan eksplisit menyatakan pengekalan dan perkembangan kedua-dua bahasa Cina dan Tamil hendaklah digalak dan dipelihara, mereka bersetuju”[33]

Maka bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dengan tidak mengenepikan bahasa lain. Ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaaan Persekutuan yang menyebut:

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa-

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

Hipotesis utama disebalik meluluskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan menyatupadukan pelbagai kaum ke arah menjadi sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa pengantar negara ini sejak dahulu lagi.[34]

Maklumat ini tiada dalam buku sejarah sekolah menengah.....ini adalah ucapan Tun Tan Siew Sin (Mantan Presiden MCA) dan Tun V.T. Sambanthan (Mantan Presiden MIC):


Presiden MCA, TunTan Siew Sin, dilaporkan dalam akhbar tempatan bertajuk ‘Tun Tan Answers Critics on special Previleges’ dalam pada30 april 1969, berkata:

• ‘The Malays, through UMNO, were generous enough to relax the citizenship laws of this country to such extent that within 12 months of independence, 90 percent were still non-citizens after nearly 100 years of colonial rule in the Malay States. In return for this major concession. the MCA and the MIC agreed to continue the policy of preserving the special position of the Malays while at the same time upholding the legitimate interest of other communities. ‘

UCAPAN PRESIDEN MIC merangkap MENTERI KERJAYA RAYA, POS DAN TELEKOM, TUN V.T.SAMBANTHAN DI DEWAN RAKYAT PADA 1 JUN 1965.

‘Now, in 1955 we won the elections with a great majority. Then we obtained freedom in two years time. During this period, we had to discuss citizenship and various other things. Now what did the Malays do - since we are speaking on racial lines - what did the Malay leadership do? They had 88 percent of the electorate still with them. What did they do with citizenship?

• If we look around in Asia and East Asia, particularly, you will find that my race the indian race, is not welcomed in Ceylon, is not welcomed in Burma. Look at my brother Chinnese race, it is not welcomed in Thailand , in Vietnam , in Cambodia , in all the other areas.What help do they get for citizenship in all these territories? In Burma , as we know, Indian have been send packing, in Ceylonthey refused them citizenship and in Burmait is likewise. I know it, you know it.
• And yet in Malayawhat happened? Here we found that the Malay leadership said, ‘We shall take them unto ourselves as brothers, we shall give them full opportunity to live in this country, we shall give them every opportunity to become citizens.’ And so, in 1957, for the whole year, we waived language qualifications, and tens of thousand of Indians, Chinnese, Ceylonese and others became citizens… As I said, it has been my great good fortune to have born in this country. Where else can you find a more charitable, a more polite, a more decent race than Malay race? Where else can you get such politically decent treatment for any immigrant race? Where else in the history of the world? I ask you. These are the facts. Who are you to safeguards us? I am 10 percent minority race here. But I am happy here.’

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum. Saudari, nampaknya banyak pengetahuan saudari tentang sejarah negara. Saya sedang buat assignment bertajuk BINCANGKAN KEPENTINGAN SEJARAN PERKEMBANGAN NEGARA DALAM PEMBINAAN NEGARA. Apa agaknya yang perlu saya buat. Pening tak tau macamana nak mula. Apa tajuk-tajuk kecil yang perlu saya masukkan.


Provided by All Famous Quotes

Follow my post