Rabu, 24 Jun 2009

Satelit Malaysia terokai angkasa


Oleh HERMAN HAMID
Yang mengikuti majlis pelancaran MEASAT-3a di Baikonur, Kazakhstan, kelmarin.

TEPAT pukul 5.50 pagi Isnin waktu Malaysia, roket Zenit-3SLB dengan kargo yang penting kepada pembangunan masa depan industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) Malaysia selamat dilancarkan ke angkasa lepas.

Kenderaan pelancar yang laju membelah ruang angkasa di pusat pelancaran satelit Baikonur Cosmodrome itu membawa bersama satelit kelima negara dan keempat milik Measat Satellite System Sdn. Bhd. - MEASAT3-a.

Satelit komunikasi Measat itu dan antara tercanggih daripada segi teknologi, menyertai MEASAT-1, MEASAT-2 dan MEASAT-3 yang terlebih dahulu dilancarkan ke orbit sebelum ini.

MEASAT-3a yang mempunyai jangka hayat selama 15 tahun dibina oleh Orbital Sciences Corporation of Dulles yang berpangkalan di Virginia, Amerika Syarikat.

Satelit seberat 2.417 tan itu akan bertindak sebagai pelengkap kemampuan MEASAT-3 yang mempunyai 48 transponder dengan capaian liputan kepada lebih 100 negara yang mewakili lebih 70 peratus penduduk dunia.

MEASAT-3a direka bentuk dengan 12 transponder C-band berkuasa tinggi dan 12 transponder Ku-Band berkuasa tinggi untuk menyokong peningkatan perniagaan terus ke rumah (DTH), penyiaran dan telekomunikasi Measat.

Dengan liputan Ku-Band di Malaysia dan Indonesia serta pancaran C-Band yang meliputi lebih 110 negara mewakili 70 peratus penduduk dunia, satelit berkenaan akan menyokong pertumbuhan syarikat dalam bidang perniagaan penyiaran dan telekomunikasi.

Justeru pelancaran MEASAT-3a Isnin lalu pastinya akan meningkatkan lagi keupayaan sistem satelit Malaysia untuk menyokong keperluan telekomunikasi dan media. Ini kerana keupayaan satelit yang terdapat di slot orbit utama 91.5 Longitud Timur itu akan ditambah kira-kira 50 peratus.

Pelancaran MEASAT-3a dilakukan mengikut jadual pada pukul 3.50 pagi (5.50 pagi waktu Malaysia) dalam cuaca yang cukup sempurna.

Sebaik saja kenderaan pelancar Zenit-3SLB meluncur ke angkasa, anggota delegasi Malaysia yang disertai Menteri Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, bersorak gembira.

Walaupun berada dalam kedudukan empat kilometer dari lokasi roket itu dilancarkan di ruang terbuka, rombongan Malaysia dapat melihat dengan jelas kerana faktor cuaca yang baik ketika pelancarannya.

Dan seperti dijangka, perjalanan roket sejauh hampir 36,000 kilometer dari bumi itu mengambil masa enam jam dan 25 minit sebelum ia memasuki orbit pada pukul 12.15 tengah hari (2.15 petang waktu Malaysia).

"Segala-galanya mengikut jadual dan Measat berbangga misi ini akhirnya berjaya," kata Paul Brown-Kenyon, Ketua Pegawai Operasinya ketika menerima ucapan tahniah daripada rombongan Malaysia.

Pelancaran satelit terbaru milik Measat Satellite System Sdn. Bhd. ke dalam lokasi orbitnya telah menjadikan ia apparatus penting bagi pertumbuhan ICT Malaysia pada masa depan.

Sudah tentu syarikat telekomunikasi dan media penyiaran akan memperoleh manfaat besar daripada pelancaran satelit ini yang meningkatkan keupayaan tambahan satelit milik Measat yang dilancarkan sebelum ini.

Satelit yang berkuasa tinggi dan berteknologi lebih canggih sebenarnya menjadi infrastruktur penting rancangan besar pelbagai syarikat berkaitan untuk melebarkan perkhidmatan masing-masing.

Sesungguhnya kejayaan pelancaran MEASAT-3a ke orbit bukan sahaja bermakna kepada sektor industri tetapi juga kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.

Seperti kata Rais yang turut menyaksikan pelancaran tersebut, adanya satelit yang berkemampuan tinggi itu akan menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pembangunan ICT Malaysia ke tahap yang lebih dikagumi.

Malah katanya, dengan peranan berterusan, Measat telah berjaya menjadi antara daya penggerak utama kepada kemajuan Malaysia dalam pembangunan ICT sehingga dikagumi kebanyakan negara membangun lain.

"Satelit terbaru ini juga melonjakkan nama negara setaraf dengan negara-negara maju selain manfaat besar untuk sektor komunikasi negara pada masa depan," katanya.

Pertumbuhan ini sebenarnya bermula pada 1996 dengan pelancaran MEASAT-1 dan MEASAT-2, yang banyak mempengaruhi transformasi senario ICT negara.

Pada awal 80-an, siaran televisyen di negara ini hanya terhad kepada saluran milik kerajaan. Namun hari ini rakyat Malaysia sudah boleh menonton siaran menerusi banyak saluran televisyen dari seluruh dunia.

Ini hanya dapat dilakukan selepas pelancaran teknologi DTH digital di Malaysia, membolehkan kita mendahului beberapa syarikat media paling inovatif di dunia.

Penggunaan satelit MEASAT oleh Astro untuk penyiaran DTH digital pada 1996 membolehkan pengguna menerima saluransaluran televisyen terus dari satelit melalui antena ceper kecil yang diletakkan di rumah mereka.

Dengan penggunaan satelit MEASAT dan keupayaan untuk memberikan liputan 100 peratus ke seluruh negara, kawasan-kawasan terpencil yang dahulunya tidak boleh dihubungi kini dapat dihubungkan ke seluruh Malaysia.

Sementara bagi syarikat Measat sendiri, pelancaran MEASAT-3a akan membawa satu lagi lonjakan besar kepada mereka hingga mampu menjadikan syarikat itu sebagai pemain utama di rantau ini.

Brown-Kenyon dalam sidang akhbar dengan media Malaysia memaklumkan mereka menjangka perolehan yang lebih tinggi iaitu sebanyak AS$100 juta (RM350 juta) setahun dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang berbanding AS$60 juta (RM210 juta) tahun lepas.

Menurut beliau, syarikat itu juga sudah memiliki perolehan dalam tangan sebanyak AS$600 juta (RM2.1 bilion) hasil daripada kontrak yang membabitkan tiga tahun, lima tahun dan 15 tahun.

Justeru soal bagaimana mahu membuat keuntungan bukan lagi menjadi persoalan utama bagi syarikat yang berpangkalan di Malaysia itu.

Cuma ia memerlukan sedikit masa iaitu kira-kira setahun atau selewat-lewatnya 18 bulan sebelum ia boleh memberikan pendapatan kepada syarikat.

Ternyata kebergantungan dunia masa kini kepada satelit amat tinggi berikutan perkembangan pantas dalam bidang komunikasi.

Ini boleh dilihat apabila MEASAT-3 yang dilancarkan penghujung tahun 2006 telah mempunyai kapasiti hampir penuh daripada segi pengambilan.

Sementara Astro sudah menempah separuh daripada transponder pada MEASAT-3a yang bermakna penambahan perkhidmatan baru, saluran baru serta kandungan yang dipertingkatkan.

Pelancaran MEASAT-3a ini ternyata membanggakan rakyat Malaysia keseluruhannya kerana kemampuan Measat yang rata-ratanya ditunjangi oleh anak tempatan termasuk di bahagian kejuruteraannya.

Ia bukan suatu tugas mudah. Justeru pelancaran satelit komunikasi ini yang juga kelima dari Malaysia adalah satu lagi detik bersejarah dalam perkembangan teknologi dan sains negara.

Dan yang paling bertuah pastinya lima pelajar cemerlang yang dibawa khas oleh Measat bagi menyaksikan pelancaran satelit ini.

Bagi Ahmad Ruiz Mohd. Asri (Kuala Lumpur) K. Chandra Sekhar (Johor Bahru); Cliff Asher R. Ongil (Beaufort), Lina Na'ilah Abdul Talip (Kajang) dan Edmund Lau (Kuching) ini adalah peluang sekali dalam seumur hidup.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Tiada ulasan:


Provided by All Famous Quotes

Follow my post