Selasa, 16 Disember 2008

Pengorbanan Orang Melayu Wajar Dihargai

Pernahkah kita mendengar orang Melayu membuat bantahan besar-besaran kerana marahkan pendatang asing tidak kira haram atau dengan izin? Pernahkah juga berlaku bantahan atau piket oleh orang Melayu dengan kekayaan bangsa lain di negara ini? Rasanya tiada, jika ada pun kalau rumah mereka tidak siap dan pemaju kebetulan daripada kalangan kaum lain. Orang Melayu sejak zaman-berzaman mudah menerima sesiapa sahaja dalam masyarakat mereka. Pantang orang Melayu menolak tetamu, jika tetamu ingin bermalam, lagilah berbesar hati mereka. Jika ingin berjiran disambut dengan tangan terbuka. Itulah tradisi Melayu yang menjadi kelemahan kesudahannya.

Perkongsian kuasa seperti yang sudah dipersetujui sejak Malaysia merdeka sewajarnya dihormati dan dijadikan pegangan dalam diri setiap pemimpin komponen Barisan Nasional (BN). Jika asyik mengutarakan perkara yang dianggap sudah dipersetujui sebagai gagasan BN bagaimana pula BN dapat bangkit dan menghadapi masa mendatang. Semangat perpaduan dan toleransi perlu diperkuatkan bukan digegar sana-sini. Formula yang berkesan selama hampir separuh abad sudah sebati dengan rakyat negara ini. Mungkin tersalah campur sebatian menjadi tindak balas kimia berbeza pula pada PRU-12.Menukar formula gagasan BN hanya akan menjadikan kita seumpama tikus membaiki labu. Setiap komponen BN perlu memantapkan parti masing-masing dan kembali mencipta kejayaan sebagaimana yang pernah dikecapi sepanjang 50 tahun kita merdeka.

Jika BN diibaratkan sebuah kapal. Kapal mana yang tidak dipukul ombak dan ribut. Bukankah ujian berlaku sepanjang pelayaran sesebuah kapal. Mungkin diserang lanun atau ditawan dengan tuntutan tebusan. Jangan pula UMNO sebagai tonggak BN diuji begitu rupa. UMNO walau ada saingan dengan Pas dan PKR masih lagi parti yang kukuh menaungi majoriti orang Melayu Semenanjung dan Sabah. Orang Melayu melalui Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan lain-lain NGO Melayu sudah mula bangkit memperjuangkan hak-hak Melayu selain UMNO yang tetap dengan perjuangan membela nasib bangsa. Jika komponen BN dan pembangkang saban masa terus meniup isu-isu sensitif mungkin akan mencetuskan suatu perasaan tidak harmoni di kalangan masyarakat. Sedangkan fokus sebenar kita adalah untuk hidup secara harmoni di dalam negara ini seterusnya menjalankan kegiatan ekonomi menurut hak-hak yang telah ditetapkan sama ada oleh Perlembagaan atau bajet tahunan negara.

Pengorbanan bangsa Melayu seboleh-bolehnya tidak mahu diungkit dari segi apa sekalipun. Tuntutan bersifat melampaui gagasan asal negara kita perlu dirasionalkan oleh pihak-pihak terbabit. Sesungguhnya orang Melayu berada dalam keadaan yang masih mampu membuat pertimbangan sebaik-baiknya dan bertindak balas secara matang tiap kali isu-isu sensitif disebut-sebut pemimpin parti komponen. Namun rasa kecewa melebihi rasa marah dan terkilan apabila soal ketuanan Melayu, kontrak sosial dan perkongsian kuasa dilaungkan tanpa henti.

Tidakkah kita sedar bangsa yang ramai masih hidup di paras kemiskinan dan mengalami diskriminasi dalam pekerjaan adalah orang Melayu? Siapa yang wajar membela bangsa Melayu jika bukan orang Melayu sendiri. Jika bukan UMNO sebagai tonggak BN melakukannya, adakah komponen BN yang lain berani memberi akujanji untuk membantu bangsa Melayu seratus peratus jika orang Melayu terus hidup di bawah paras kemiskinan, sudah pasti mereka akan mengatakan itu tanggungjawab UMNO sendiri sebagai pembela orang lain. Jika mereka mampu memberi akujanji sedemikian mungkin tuntutan mereka dianggap berasas.

Tiada ulasan:

Our Blues drama review -malay version

  Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...