Rabu, 10 Disember 2008

Aidil Adha

Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji atau sesetengah orang menyebut Hari Raya Korban merupakan perayaan yang dirayakan diseluruh dunia bagi menandakan kemuncak bagi tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah, yang merupakan rukun Islam kelima yang terakhir. Manakala bagi mereka yang berkemampuan ia menandakan bermulanya ibadat korban untuk dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin iaitu pada setiap 10,11,12 dan 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t. Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit berbanding Hari Raya Aidil Fitri iaitu sebelum khutbah hari raya. Selama 3 hari berturut-turut juga takbir hari raya berkumandang di seluruh masjid dan surau.

Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.
Hari Raya Aidil Adha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Kesimpulanya, Hari Raya Aidil Adha juga tidak kurang meriah bagi umat islam. Juadah yang biasanya dimakan pada Aidilfitri juga turut disediakan pada hari tersebut. Namun bagi saya hari ini juga sangat istimewa kerana dapat berkumpul bersama keluarga sambil menikmati juadah hari raya. Sesuatu kemeriahan yang sangat dirasai adalah apabila kita dapat menunaikan ibadah korban dan dapat bersedekah. Ini merupakan satu pengorbanan yang kita dapat nikmati ketenangannya dan hanya sesetengah orang sahaja yang dapat merasainya.

Tiada ulasan:

Our Blues drama review -malay version

  Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...