Selasa, 28 April 2009

Liberalisasi Kewangan

Kerajaan mengumumkan enam teras pakej liberalisasi bagi sektor kewangan yang akan dilaksanakan sehingga 2012 termasuk pemberian sembilan lesen baru kepada peserta industri sektor berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah-langkah liberalisasi itu bertujuan menggalakkan perubahan struktur dalam kewangan serta mempelbagaikan sumber pertumbuhan untuk terus memacu ekonomi negara.

''Dalam tempoh tiga tahun lalu, sektor kewangan dan insurans telah berkembang sebanyak 8.8 peratus setahun mengatasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) benar sebanyak 6 peratus. Terdapat lebih 140,000 pekerja dalam sektor perbankan dan insurans.

''Melangkah ke hadapan, sektor kewangan dijangka menjadi pendorong dan pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih penting dalam peralihan Malaysia ke arah mencapai status ekonomi maju pada 2020," katanya.

Najib mengumumkan demikian pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, empat hari selepas memutuskan liberalisasi dalam sektor perkhidmatan Rabu lalu.

Enam teras pakej liberalisasi bagi sektor kewangan meliputi:

Pengeluaran lesen baru kepada peserta industri kewangan yang kukuh dan bertaraf dunia dalam kategori seperti berikut:

i) Dalam 2009, sehingga dua lesen perbankan Islam baru kepada peserta asing untuk menubuhkan bank-bank Islam baru dengan modal berbayar sekurang-kurangnya AS$1 bilion.

ii) Dalam 2009, dua lesen perbankan perdagangan baru akan ditawarkan kepada peserta asing yang akan membawa kepakaran khusus.

iii) Dalam 2011, sehingga tiga lesen perbankan perdagangan baru akan ditawarkan kepada bank-bank bertaraf dunia yang dapat memberikan manfaat besar kepada Malaysia.

iv) Dalam 2009, dua lesen takaful keluarga baru akan diberikan.

Kelonggaran akan diberikan bagi meningkatkan had ekuiti asing bank pelaburan, bank Islam, syarikat insurans dan pengendali takaful daripada 49 peratus kepada 70 peratus. Hubungan ini akan memperkukuh potensi perniagaan dan meningkatkan prospek pertumbuhan institusi kewangan melalui kepakaran antarabangsa dan rangkaian hubungan global pemilik asing. Had pegangan ekuiti asing bagi bank perdagangan domestik tetap kekal pada tahap 30 peratus.

Memberi lebih fleksibiliti kepada institusi kewangan asing yang beroperasi di Malaysia untuk memperluas jangkauan produk dan perkhidmatan kewangan terutamanya melalui pembukaan cawangan baru. Ini bagi mencapai akses yang lebih meluas dalam memberikan perkhidmatan kewangan dan meningkatkan penembusan insurans di dalam negeri. Bank-bank perdagangan asing yang diperbadankan di Malaysia akan dibenarkan membuka empat cawangan baru dalam 2010 dan 10 cawangan pembiayaan mikro tahun ini.

Lebih fleksibiliti akan diberikan kepada peserta luar pesisir Labuan. Berkuat kuasa 1 Jun ini, Syarikat Induk Labuan yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat Luar Pesisir 1990 akan diberikan fleksibiliti untuk menubuhkan pejabat operasi dan pengurusan di Kuala Lumpur bagi meningkatkan kecekapan operasi dan perniagaan mereka. Inisiatif ini akan membolehkan Syarikat Induk Labuan menjalankan perniagaan mereka dengan lebih berkesan dan cekap.

Bagi menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih fleksibel dari segi pengendalian, institusi perbankan luar pesisir yang dilesenkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan akan diberikan fleksibiliti untuk beroperasi di dalam negeri mulai 2010. Syarikat insurans luar pesisir yang dilesenkan oleh LOFSA dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan juga akan diberikan fleksibiliti untuk beroperasi di dalam negeri mulai 2011. Fleksibiliti ini akan disokong oleh pengukuhan rangka kerja pengawalan dan penyeliaan yang mengawal selia peserta-peserta ini.

Lebih fleksibiliti juga akan diberikan untuk mengambil pekerja ekspatriat dalam bidang-bidang kepakaran yang akan menyumbang kepada pembangunan sektor kewangan.

- UTUSAN

Tiada ulasan:

Our Blues drama review -malay version

  Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...