Jumaat, 24 April 2009

Tips Mengelak Dari Kecurian Kenderaan

Situasi kemelesetan ekonomi yang melanda dunia pada masa ini mendorong kepada peningkatan kadar jenayah terutamanya jenayah curi kenderaan. Ini ditambah lagi dengan kadar pengangguran yang meningkat dan desakan hidup terutamanya di kota-kota besar. Walaupun pihak polis telah meningkatkan rondaan bagi menjamin keselamatan masyarakat, namun langkah-langkah pencegahan perlu diambil oleh pemilik kenderaan agar keselamatan kenderaan mereka terjamin.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan oleh pemilik kenderaan untuk mengurangkan risiko kecurian seperti jangan meletak kenderaan di tempat yang sunyi atau jauh dari pandangan umum. Meletak kenderaan di tempat sunyi boleh diibaratkan seperti "orang mengantuk disorongkan bantal". Sudah tentulah penjenayah mudah melakukan aktiviti mencuri kerana tiada saksi yang melihat kegiatan mereka.

Sediakanlah kunci tambahan pada kenderaan anda seperti kunci stereng, mangga, atau sistem penggera. Alat-alat ini boleh didapati di kedai aksesori kenderaan dengan harga yang berpatutan. Selain dari itu, sistem kunci alternatif juga boleh digunakan bagi melengahkan masa penjenayah yang ingin mencuri. Sudah tentu si penjenayah akan berfikir banyak kali untuk mrncuri kenderaan anda.

Jangan sekali-kali meninggalkan beg tangan atau beg barang berharga di bahagian tempat duduk kenderaan. Amalan ini juga boleh mendorong penjenayah bertindak agresif, dengan memecahkan cermin untuk mendapatkan barang tersebut. Jika anda terpaksa berbuat demikian, simpan barang-barang tersebut di boot kereta anda. Sudahlah rugi dengan kehilangan malah anda terpaksa menggantikan cermin yang pecah tadi.

Sekiranya anda ada membawa laptop atau kamera, tanggalkan baterinya terlebih dahulu sebelum menyimpannya di boot kenderaan. Ini bagi mengelak kenderaan anda dikesan menyimpan barang berharga seperti itu. Ini kerana modus operandi penjenayah juga kadang kala menggunakan alat pengesan yang boleh mengesan barang-barang elektronik.

Masyarakat juga perlu peka dengan keadaan sekeliling dari perkara yang mencurigakan. Laporkan kepada polis sekiranya anda melihat sesuatu yang tak diingini berlaku. Jangan sesekali bertindak sendirian kerana berkemungkinan penjenayah boleh bertindak dengan ganas.

Jika semua langkah telah diambil, maka tetulah anda akan berasa tenang sekiranya meninggalkan kenderaan anda di tempat pakir. Semoga tips-tips ini dapat membantu anda dan memelihara barang kesayangan anda dari dicuri.

Tiada ulasan:

Our Blues drama review -malay version

  Barisan pelakon-pelakon. Rating saya 8/10. Saya baru sahaja habis menonton 20 episod drama ini. Saya bukan nak bagi 'spoiler' kepa...