Jumaat, 6 Mac 2009

Faktor Yang Mempengaruhi Perkembangan Sahsiah Anak-anak



PENGARUH KELUARGA

Keluarga merupakan pengasuh yang paling penting dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan sahsiah kanak-kanak. Ini disebabkan keluarga boleh dianggap sebagai kumpulan sosial yang pertama melingkungi kanak-kanak. Kanak-kanak menghabiskan masa bersama keluarganya lebih daripada kumpulan sosial luar yang lain. Kuat atau lemahnya pengaruh keluarga terhadap perkembangan sahsiah kanak-kanak dapat digambarkan seperti berikut:


v Jika kanak-kanak hidup dengan dikritik, dia akan belajar membenci.

v Jika kanak-kanak hidup dalam perseteruan, dia akan belajar berkelahi.

v Jika kanak-kanak hidup dalam ketakutan, dia belajar menjadi cemas atau bimbang.

v Jika kanak-kanak selalu diperli, dia belajar menjadi malu.

v Jika kanak-kanak hidup dalam suasana tolak ansur, dia belajar menjadi sabar.

v Jika kanak-kanak selalu diberi galakan, dia belajar yakin dengan dirinya.

v Jika kanak-kanak selalu dipuji, dia belajar untuk menghargai.

v Jika kanak-kanak merasa dirinya diterima, dia belajar berkasih sayang

v Jika kanak-kanak mendapat layanan sama rata, dia belajar menghargai keadilan.

v Jika kanak-kanak hidup dengan kejujuran, dia belajar menghargai kebenaran.

v Jika kanak-kanak hidup dengan berasa selamat, dia belajar mempercayai dirinya dan orang lain.

v Jika kanak-kanak dikenali dan dihargai, dia akan mempunyai tujuan hidup.


Pengaruh keluarga terhadap perkembangan sahsiah kanak-kanak banyak bergantung kepada sifat-sifat kanak-kanak itu. Kanak-kanak yang selalu gelisah dan selalu dalam keadaan tegang, misalnya cepat berasa kecewa apabila ahli keluarga memberi perhatian yang lebih kepada adiknya yang baru lahir dibandingkan dengan kanak-kanak yang bersifat tenang. Begitu juga dengan kanak-kanak yang sihat akan memberikan reaksi yang berlainan terhadap ibubapanya yang selalu melindungi dan memanjakannya dibandingkan dengan kanak-kanak yang lemah-lembut tetapi selalu sakit.


PENGARUH TADIKA


Keadaan Bilik Darjah

Kanak-kanak akan berasa gembira, selesa, suka bekerjasama dan bersemangat untuk belajar di dalam bilik darjah yang kemas, teratur dan dapat menimbulkan suasana untuk belajar. Keadaaan bilik darjah yang tidak kemas membuatkan kanak-kanak sentiasa berasa tegang, gelisah, suka bergaduh, nakal dan tidak berminat untuk belajar. Keadaan bilik darjah banyak bergantung di atas sikap guru terhadap kerja dan murid-muridnya.


Guru

Guru boleh mempengaruhi perkembangan sahsiah kanak-kanak dengan menunjukkan teladan yang boleh diikuti mereka. Murid-murid akan menganggap gurunya sebagai pengganti ibu bapa mereka. Murid-murid lazimnya akan meniru tingkah laku guru, mengikut nasihatnya serta bimbingannya.


Disiplin

Disiplin yang dikenakan di sekolah juga mempengaruhi sikap dan tingkah laku kanak-kanak. Disiplin yang ketat akan membuatkan kanak-kanak selalu berasa tegang, gelisah, timbul rasa benci dan suka bermusuh. Disiplin yang permisif akan membuat kanak-kanak tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati peraturan. Sementara displin yang demokratik akan membuatkan kanak-kanak berasa dirinya penting, riang, suka bekerjasama dan percaya pada orang lain.


PENGARUH FIZIKAL


Keletihan

Keletihan menyebabkan kanak-kanak mudah tersinggung dan suka membantah dalam hubungannya dengan kanak-kanak lain ataupun orang dewasa.


Kekurangan makanan

Kanak-kanak yang kurang makan khususnya makanan yang berzat selalunya tidak aktif dan kurang bertenaga untuk bermain dengan rakan-rakannya. Kanak-kanak yang kurang aktif lazimnya pemalu, mudah tersinggung dan selalu berduka.


Penyakit

Kanak-kanak yang selalu sakit mempunyai emosi yang tidak stabil, selalu berduka dan bersifat terlalu bergantung kepada orang lain.

Tiada ulasan:


Provided by All Famous Quotes

Follow my post